mySKY - ialah Almanak Astronomi yang memaparkan fenomena-fenomena astronomi yang menarik untuk dicerap oleh anda semua. Ia merupakan impian saya sejak memulakan portal Falak Online pada tahun 1999 dahulu. Disebabkan waktu terhad serta kurang kreativiti, impian itu tetap menjadi impian sehinggalah hari ini.
mySKY akan cuba membawa informasi menerusi 3 cara, mudah, ringkas dan tepat.
Mudah - Disebabkan kita semua hidup dengan melihat kalendar, maka saya pamerkan informasi fenomena astronomi di dalam bentuk kalendar yang kita semua selesa dan tahu guna. Rasanya tak perlu diajar apa bezanya Month view, Week view dan lain-lain kerana semua daripada kita pernah dan sedang menggunakan kalendar di dalam diari atau google calendar.
Ringkas - Saya cuba fokuskan agar maklumat yang dipaparkan di sini ringkas dan tidak meleret-leret. Maka, segala paparan di sini akan mengikuti konsep tersebut. Jika anda ingin mahukan penerangan dengan lebih mendalam, saya akan sediakan link ke artikel di laman Falak Online.
Tepat - Ada di antara fenomena langit di Malaysia tidak sama seperti apa yang dilihat di negara lain. Ini disebabkan dinamikan objek-objek di angkasa itu sendiri yang sentiasa berubah-ubah. Saya juga pernah lihat banyak informasi astronomi yang dikongsi di internet tidak mengambil kira faktor tersebut, malah ada yang waktu kejadian itu sendiri tidak ikut waktu tempatan. Maka, saya mengambil langkah untuk menukar tarikh dan waktu fenomena agar sesuai dengan kita di Malaysia.
Berasaskan 3 visi yang saya cuba capaikan di atas, mySKY tidak akan mempunyai sebarang pos seperti blog atau artikel. Segala penerangan terperinci sesuatu fenomena, atau penambahan/perubahan maklumat di dalam almanak ini akan diumumkan menerusi laman utama Falak Online.