Mencerap cakerawala menerusi video di internet!

{Imej di sebelah ialah Rock Mallin (kiri) bersama rakan di Kanada, sedang berinteraksi dengan saya di Malaysia (Klik di sini)}.
Teknologi internet masa kini serta kemampuan mereka mencari jalan menggunakan segala kemudahan teknologi yang ada cukup mengkagumkan. Lebih-lebih lagi jika peminat teknologi ini juga merupakan ahli astronomi amatur yang bersungguh-sungguh mahu berkongsi pengalaman bersama rakan-rakan mereka di seluruh dunia.
Bayangkan ahli amatur seluruh dunia secara serentak dapat berkumpul di sebuah portal internet, sama-sama berbincang dan menyaksikan imej video objek cakerawala secara LIVE daripada lokasi terpencil yang jauh dari gangguan cahaya dan dipancarkan menerusi satelit!
Inilah pengalaman paling menarik pernah saya alami, sejak keghairahan perkongsian maklumat menerusi email seperti mailing list atau chatroom......
Pada pagi tadi, jam 10 pagi, saya telah berpeluang menyertai aktiviti starparty secara LIVE menerusi internet, bersama-sama dengan ahli amatur dari U.S., Canada, Greece dan beberapa lokasi lain di dunia! Yang paling menarik sekali ialah buat pertama kali saya dapat berhubung terus dengan pereka alat kamera Mallincam, iaitu Rock Mallin sendiri, yang ketika itu berada di Kanada!
Servis ini dibawa oleh beberapa ahli amatur U.S. menerusi laman web astrochannels.com. Buat masa ini mereka masih memberikan servis ini secara percuma. Namun, ia cukup menyeronokkan, memandangkan ia memberi peluang untuk sesiapa sahaja menjadi saksi akan kehebatan peralatan video astronomi yang ada sekarang.
Apa yang anda perlukan ialah talian internet yang agak laju (dial-up mungkin ada masalah sedikit). Video streaming akan dipancarkan menerusi Windows Media Player. Pengunjung akan dapat menyaksikan objek-objek seperti galaksi, nebula, gugusan bintang dan macam-macam lagi, secara LIVE menerusi beberapa set teleskop dan kamera dipasang di lokasi.
(Lihat contoh video) Saya mendapat tahu, mereka menggunakan kamera Mallincam Hyper Color yang serupa dengan apa yang saya guna selama ini. Namun, hasilnya jauh lebih menarik kerana langit di sana jauh lebih baik berbanding di Malaysia.
Fasiliti chatroom turut disediakan, yang mana aplikasi tersebut dibangunkan menggunakan Macromedia Flash. Cukup menarik kerana selain aktiviti chat, jika kita mempunyai webcam, dapat berhubung terus dengan mereka.
Saya telah berpeluang berinteraksi dengan Rock Mallin sendiri, dan ia cukup informatif dan
menyeronokkan.
Sememangnya ini merupakan satu lagi langkah besar di dalam dunia astronomi, kerana sebelum ini kita hanya dapat menyaksikan sendiri objek jika kita hadir bersama-sama dalam aktiviti starparty. Namun kali ini, aktiviti starparty itu sendiri sudah menjadi global dan dapat disertai oleh sesiapa yang berminat seluruh dunia! Dan LIVE video yang dipaparkan cukup menakjubkan, bagai langit dengan bumi, jika kita menyaksikan sendiri menerusi eyepiece teleskop.
Mungkin satu hari nanti, kita boleh buat perkara yang sama di Malaysia. Amacam?