UtaridBulan November ini, planet Utarid akan menghabiskan masanya di langit petang. Ia akan kelihatan rendah di kaki langit Barat, sebaik sahaja masuk waktu Maghrib. Ia akan perlahan-lahan kelihatan semakin tinggi menjelang akhir bulan ini. Pada 25 Nov, ia akan berada pada paras ketinggian maksimum iaitu sekitar 12 darjah pada jam 7.30 PM. Selepas tarikh ini, ia akan kembali menjunam kembali ke kaki langit.
Pada petang 14 Nov nanti, ia akan ditemani oleh Bulan sabit, yang mana ketika itu Utarid akan berada lebih kurang 4 darjah ke kanan bawah dari kedudukan Bulan.
Sepanjang bulan ini ia akan berada di dalam kawasan buruj Scorpius.
ZuhrahSepanjang bulan November, Zuhrah akan bersinar dengan begitu cerah pada magnitud -4. Perhatikan pada awal bulan ini, Zuhrah akan menemani planet Musytari. Kedua-dua planet ini membentuk pasangan objek cerah yang sungguh indah. Zuhrah akan berada di kiri Musytari.
Pada 9,10 dan 11 Nov, Bulan sabit tua akan turut bersama dengan Zuhrah ( dan Musytari ), menjadikan kawasan langit sebelah Timur ini 'penuh' dengan objek-objek yang cerah! Jangan lupa kamera digital anda untuk merakam imej objek-objek samawi ini!
Menjelang akhir bulan, kita akan dapati Zuhrah semakin hari semakin rendah ke kaki langit.
MarikhPlanet ini masih terlalu kelam untuk menarik perhatian kita. Malah ia masih lagi rendah di kaki langit Timur selepas Subuh. Sekali pandang ia hanya seperti sebuah 'bintang' yang biasa sahaja.
Namun, kemunculan kembali Marikh kali ini bakal menemukan kita kepada sebuah lagi fenomena istiqbal Marikh yang menarik akhir tahun 2005 nanti!
MusytariRaja segala planet ini akan menghabiskan masanya sepanjang bulan November ini di langit Timur selepas Subuh.
Pada awal November, ia akan berada begitu hampir dengan planet Zuhrah, dan pada 5 Nov ia akan berada kurang dari 1 darjah dari Zuhrah, satu fenomena yang jarang-jarang berlaku.
10 Nov, Bulan akan berada antara Musytari dan Zuhrah. Peluang fotografi menarik!
Menjelang akhir bulan Musytari sudahpun semakin tinggi di langit sebelah timur (sekitar 40 darjah pada jam 6.15 am) dan sedang menunggu masa sahaja untuk mengambil alih gelaran objek paling cerah di langit, selepas Zuhrah perlahan-lahan hilang dari pandangan pada bulan hadapan nanti.
ZuhalZuhal pula berada tinggi di langit, malah hampir betul-betul tegak atas kepala pada waktu Subuh. Pandang ke arah Utara, dan dongakkan kepala anda ke atas. Anda akan melihat 3 bintang yang membentuk satu 'deretan' . Zuhal merupakan objek yang tercerah dan paling atas antara ketiga-tiganya. 2 buah objek di bawah Zuhal ialah bintang Castor & Pollux .
Bulan akan berada di sekitar kawasan planet Zuhal ini pada 3 dan 4 Nov ini. Bulan akan kembali ke kawasan ini pada 30 Nov, 1 dan 2 Dis nanti.
UranusPlanet Uranus, walaupun amat sukar untuk dilihat dengan mata kasar, ia boleh dikesan menggunakan binokular dan sebuah carta bintang yang bagus. Ia berada pada bermagnitud 6 di dalam buruj CAPRICORNUS pada jarak 19 Astronomical Unit dari matahari. Hanya binokulars mampu menjejaki lokasi planet ini. Teleskop berkuasa tinggi akan menunjukkan ia kelihatan seperti bintik BIRU KEHIJAUAN.
NeptunePlanet Neptune (mag 8 ) hanya boleh dlihat dengan mudah dengan teleskop. Dan kini ia berada di tinggi di langit sekitar Isya' dalam buruj CAPRICORNUS. Hanya binokulars mampu menjejaki lokasi planet ini. Teleskop berkuasa tinggi akan menunjukkan ia kelihatan seperti bintik BIRU
PlutoPlanet Pluto sekarang berada di sebelah 'belakang' matahari (solar conjunction) dan ia tidak dapat dilihat sepanjang bulan ini