Assalamualaikum
Laporan bahagian pertama Siri Pengembaraan Falak di bumi AustraliaPenerbangan dari LCCT ke Melbourne mengambil masa lebih kurang 7 setengah jam, agak meletihkan. Namun, Alhamdulillah telah selamat sampai pada 11.30 malam hari Selasa (19hb).
Namun, agak suspen juga kerana disepanjang perjalanan tu, ada pasangan Aussie yang duduk di kerusi tengah , betul-betul di sebelah saya, terbatuk-batuk tak henti-henti.
Semua yang duduk berdekatan asyik pandang satu sama lain!! Dalam kepala dah risau yang bukan-bukan.
Lagi me-nyaspen-kan, sebaik sahaj mendarat di Melbourne, semua tidak dibenarkan keluar, sehinggalah pegawai kuarantin Aussie masuk pesawat dan periksa dulu pasangan tu.
Selepas beberapa soal jawab soalan, pasangan tu dibawa keluar dulu, barulah yang lain dibenarkan keluar.
Adus... suspen suspen. Mujur tak de apa-apa.
Sementara tunggu flight pagi ke Sydney, saya ronda-ronda di luar airport, dan objek pertama yang saya nampak di bumi Aussie ialah Musytari! Terang benderang macam orang suluh lampu torchlight di langit! Dan saya perhatikan, disebalik awan-awan yang bergerak laju, langit di Melbourne tetap hitam!
Adegan jalan-jalan di Sydney tu, tak payah lah nak cerita sangat, pasal tak relevan dengan tajuk ni.. hehe.. so saya ringkaskan je la.
Pada Rabunya, pusing sana sini di bandar Sydney, dan sebelah petang pandu ke selatan lebih kurang sejam setengah perjalanan ke bandaraya Wollongong. Tidur sana satu malam di rumah kawan lama.
Tapi yang merisaukan saya sikit ialah cuaca. Sepanjang hari, cuaca berawan, kadangkala cerah, tetapi menjelang petang, mula renyai-renyai! Bila tengok berita di TV, boleh dikatakan seluruh New South Wales sedang mengalami cuaca ekstrem, hujan dan banjir! Terutama di kawasan pantai!
Adus... tak de rezekila nampaknya.
Pada awal pagi Khamis, saya pun mulakan perjalanan jauh ke bandar Coonabarabran, atau ringkasannya Coona. Berdasarkan kiraan di dalam Google Map, jauhnya dari Wollongong ialah sekitar 500km. Dan jumlah masa perjalanan sekitar 7.5 jam!
Sepanjang perjalanan, kawasan persekitaran berubah daripada kawasan padat penduduk seperti di bandar Wollongong, sehinggalah ke kawasan perladangan seluas mata memandang! Lebih banyak lembu, biri-biri daripada manusia!

Mujur jalan tak jem, dapat bergerak dengan selesa.
Akhirnya, sekitar jam 4.30 petang, sampai juga ke bandar Coonabarabran, the Astronomy Capital of Australia! Signboard gergasi Coona menanti di pintu masuk kawasan bandar Coona!

Namun, apabila saya mendongak ke atas, langit penuh diselubungi awan! Itu belum lagi angin dingin yang bertiup agak kencang. Suhu menunjukkan sekitar 11 darjah Celsius.
Bandar Coona merupakan bandar yang sungguh nyaman dan menarik untuk bersiar-siar. Jalan utamanya terus menujuk ke kawasan deretan kedai-kedai. Terdapat sebuah menara jam yang menjadi simbol kepada bandar tersebut di hujung jalan utama tersebut. Beberapa buah hotel dan motel turut berada di kawasan ini. Berdasarkan rekomen daripada rakan astronom amatur Aussie, Acacia Motor Logde merupakan yang paling selesa.

Memandangkan maghrib sini sekitar 5.30 pm, jadi tak banyak masa nak survey tempat lokasi cerapan.
Apabila sampai di lokasi cerapan, didapati ada sekumpulan amatur dari US dan Aussie sedang makan BBQ. Setelah berborak ringkas dengan beberapa orang, dan menolak ajakan mereka untuk join sekali untuk ber-bbq dan minum wine(!), saya pun tinjau-tinjau di padang di mana cerapan itu diadakan.
Dan sebuah teleskop Dobsonian gergasi sedang menanti!
Saya cukup terpesona kerana ini merupakan kali pertama melihat sebuah Big Dob. Dan ia bersaiz 25 inci!! Untuk melihat ke dalam eyepiece-nya, kita perlu naik tangga, lebih kurang 4 atau 5 tapak tangga!
Tak sabar nak tunggu waktu malam untuk cerapan. Tapi bila dongak ke atas, masih lagi berawan dan angin bertiup kencang!! hmmm.... disebabkan cuaca sebegitu, saya pun balik ke hotel (lebih kurang 15 minit dari site), untuk berehat sebentar dan makan maggi.
Jam menunjukkan 9 malam. Entah kenapa, hati terdetik untuk jenguk keluar dari bilik hotel, dan jengah ke langit.
MashaAllah! Alangkah terkezutnya apabila tengok bintang bertaburan di sana sini! Tidak ada sekelimut awan pun berada di langit! uihh!! bila masa pulak langit jadi cerah!
Apa lagi, dengan sepantas kilat, capai baju 3,4 lapis dan terus ke lokasi cerapan.
Gelap! memang sungguh gelap di tempat cerapan. Hanya torchlight warna merah sahaja yang kelihatan dan bergerak-gerak. Memang mereka betul-betul mengaplikasikan polisi untuk mencerap iaitu lampu-lampu diharamkan sama sekali! Jauh beza dengan 'star party' yang ada di Malaysia.

Gelapnya begitu pekat sehingga tak boleh langsung nampak muka orang yang sedang berbual dengan kita! Tapi yang paling menakjubkan ialah langit!
Bintang, bintang dan bintang lagi! Mendongak hampir ke arah zenith, saya dapat lihat Alpha dan Beta Centauri bersama dengan Crux, jauh lebih tinggi posisinya berbanding di M'sia. Tetapi yang lebih menakjubkan ialah jaluran Bima Sakti yang merentasi langit seperti sungai susu putih yang terang!
Bima Sakti di sini begitu terang, sehingga bila diperhatikan betul-betul, kecerahan yang melampaunya itu menghasilkan cahaya yang samar-samar menerangi persekitaran!! You got to see it to believe it!! Memang menakjubkan!
Seperkara lagi yang cukup mengkagumkan ialah Coalsax Nebula... cukup jelas nampak kelopongannya di sebalik jaluran Bima Sakti di Crux!! Dengan mata kasar! Tak perlu nak guna bino atau teleskop!
Dan bila guna bino, lain pula ceritanya....
Seluruh kawasan langit dipenuhi dengan ribuan/jutaan bintang-bintang halus ..seolah-olah macam kita tengok dalam foto! Tapi kali ini, live menerusi binokulars!
Boleh dikatakan, saya hanya tergamam selama sejam, dengan mata terpaku ke langit, tinjau dari ufuk ke ufuk. Dan bila saya cuba 'luaskan' pandangan mata, memang jelas bentuk piring Bima Sakti melangkaui dari kiri ke kanan mata. Seolah-olah seperti kita sedang terbang di angkasa lepas!
Seperkara lagi yang saya perasan ialah posisi buruj semuanya berubah di sini. Malah saya hampir give-up nak mencari Scorpio di langit, hanya kerana kedudukan buruj ni hampir 'terbalik' dan berada tegak malah melangkau zenith dan 'tertumpah' ke langit utara!
Itu belum lagi buruj Sagittarius, yang memang tonggang terbalik! Buruj Leo, yang tegak di M'sia, kini rendah merentasi langit sebelah Utara, dan tidak akan dapat melangkau kawasan zenith!
Dan malam itu jugalah, saya dapat lihat Small Magellanic Cloud dengan mata kasar, buat kali pertama! MEmang sebelum ni dari Malaysia, tak pernah dapat lihat.. jadi Alhamdulillah rezeki datang di bumi asing!
Tompokan globular cluster seperti Omega Centauri dan 47 Tuc, begitu jelas dan terang apabila dilihat menerusi bino!
Dan apabila saya berpeluang melihat menerusi teleskop 25 inci tu, saya hampir nak jatuh tangga! Objek seperti Swan Nebula dan M8 begitu jelas strukturnya, sebiji seperti dalam fotograf! Dan view langit menerusi eyepiece Ethos 9mm begitu mengujakan, seolah-olah seperti kita sedang menjenguk menerusi tingkap sebuah kapal angkasa!
Menjelang 1 pagi, kelihatan sebutir bintang yang amat cerah sedang terbit di ufuk timur. Rupa-rupanya itu adalah planet Musytari! Ia begitu cerah seolah-olah sama cerah dengan planet Venus dari Malaysia! Malah, ada di kalangan amatur yang saya temui menyatakan mereka pernah dapat lihat bayang-bayang mereka yang terhasil daripada pancaran cahaya planet Musytari!!!
...bersambung...