Falak-Online Komuniti
January 09, 2009, 02:57:25 AM *
Welcome, Guest. Please login or register.

Login with username, password and session length
News: Jangan lupa untuk activate akaun pengguna anda sebaik sahaja anda selesai melakukan pendaftaran. Anda perlu reply email yang dihantar.
 
   Home   Help Search Calendar Login Register  
Pages: [1]   Go Down
  Print  
Author Topic: Catatan pengembaraan ekspedisi Gerhana Matahari Penuh 2006 NETT di Turki  (Read 1494 times)
0 Members and 1 Guest are viewing this topic.
shahgazer
Administrator
Pengembara Semesta
*****
Offline Offline

Posts: 594


shahgazer
View Profile
« on: April 09, 2006, 04:07:22 AM »

Ekspedisi NETT ke Side, Turkey - catatan sebuah pengalaman pengembaraan yang menakjubkan. [Foto di Galeri]

Kumpulan NETT bagi ekspedisi ke Turki ini secara asasnya terdiri daripada organisasi kerajaan seperti Jabatan-jabatan Mufti Negeri, JUPEM, Balaicerap Al-Khawarizmi, Kumpulan Makmal Fizik Angkasa Universiti Malaya dan orang perseorangan.

Pada peringkat awal, dijadualkan sekitar 25 orang akan mewakili NETT ke Turki. Namun, apabila menjelang ke peringkat
akhir hanya 11 orang sahaja yang dapat mengikuti ekspedisi ini.

Catatan berikut merupakan catatan peribadi saya sepanjang ekspedisi ini. Dijangkakan sebuah laporan rasmi dari NETT akan menyusul kemudian.

27-3-2006
Kami berkumpul di lapangan terbang KLIA, Sepang sekitar jam 2.30 petang dan bertemu dengan wakil dari Muslimin Travels & Tours, travel agency yang mengaturkan perjalanan pergi dan balik kami.

Beberapa wakil dari Makmal Fizik Angkasa, UM turut berada di KLIA untuk menghantar kami, termasuk salah seorang dari ahli forum kita, universe24!

Pada awalnya, kami menjangkakan pihak kastam di KLIA akan memeriksa setiap perkakasan yang kami bawa. Tetapi Alhamdulillah, mereka hanya periksa dokumen-dokumen kami sahaja. Jadi tak perlulah bersusah payah untuk buka beg dan atur kembali perkakasan kami.

Sekitar jam 6.50 petang, penerbangan SIA berangkat dari KLIA menuju ke Singapura. Di sana, kami akan bertukar penerbangan dan menaiki Turkish Airline pula.

Agak merisaukan kerana transit kami di Singapura lebih kurang 3 jam. Saya sanggup transit flight sebaik sahaja mendarat di sana, daripada kerugian masa selama 3 jam untuk transit. 3 jam itu boleh diguna sebaiknya sebagai sebahagian daripada masa di Turki untuk mencuba kembali peralatan-peralatan kami.

Tetapi apa nak buat... sabar je lah!


28-3-2006

Setibanya di lapangan terbang antarabangsa Istanbul (lebih kurang jam 7 pagi 28/3/2006 waktu Turki), kami tercari-cari beg-beg dan peralatan kami yang dimasukkan ke dalam kargo.

Walaupun semasa di Singapura, kami telah dapat maklumat bahawa kami kargo kami akan sampai terus ke Manavgat, tapi kami perlu mengambil langkah berjaga-jaga dan mendapat maklumat dari pihak Istanbul juga. Dan Alhamdulillah kami dapat tahu kargo tersebut akan terus ke Manavgat dan perlu diambil dan check-in kembali!

Sementara menunggu penerbangan domestik dari Istanbul ke Manavgat, kami membuat perbincangan singkat dan memeriksa kembali segala perancangan yang dibuat. Walaupun di dalam keadaan yang agak letih setelah berjalan hampir 12 jam, kami memaksa diri untuk berbincang kerana kesuntukan masa.

Di antara perkara yang cukup merisaukan kami ialah kekurangan masa untuk melakukan cerapan percubaan. Kami menjangkakan pada awalnya kami akan sampai ke hotel di Manavgat jam 5 petang. Jika itu benar, maka ia bermakna kami hanya ada 2 jam sahaja sebelum matahari terbenam! Kelam kabut dibuatnya!

Sekitar jam 12 tengahari, kami berangkat ke Manavgat, destinasi cerapan gerhana matahari kami! Hotel Sunberk. Kami dibawa ke sebuah hotel yang kecil tetapi kelihatan agak selesa. Dari segi standard di Malaysia, ia lebih kurang macam sebuah resort kecil. Hotel Sunberk terletak di kawasan yang agak sekali imbas nampak agak terpencil, kerana untuk ke sini, jalannya seperti  jalan kampung! Ia terletak di bandar bersejarah Side.

Setelah sampai di sini, barulah kami sedar lokasi cerapan kami sebenarnya ialah bandar Side. Bandar Manavgat terletak lebih kurang 10 km dari Side. Salah pulak print nama bandar pada bendera NETT! tongue

Setelah makan tengahari dengan diet cara Turki, kami pun bergegas ke kawasan sekitar kolam mandi, yang juga terletak di hadapan bilik penginapan kami.


Bilik-bilik kami menghadap ke arah Selatan. Oleh itu matahari akan naik di sebelah kiri kami, di belakang bangunan 2 tingkat yang menempatkan restoren. Ia telah melindung kawasan ufuk timur. Walau bagaimanapun, kawasan zawal atau zenith langit tidak terhalang langsung dengan pokok atau bangunan. Ia terbuka luas dan memberikan kami front row seat untuk sepanjang fasa gerhana.

Ustaz Zainuddin dari Unit Falak, Jabatan Mufti Perak telah membawa alat GPS yang memberi impak yang besar terhadap kumpulan kami. Alat ini membantu synchronize-kan jam-jam kami ke saat yang tepat, dan amat kritikal di dalam membantu kami mendapat saat-saat 1st, 2nd , 3rd dan 4th contact.

Ketika kami berbincang di tepi kolam mandi, beberapa orang ahli astronomi amatur dari Croatia dan Denmark turut sama-sama berbincang dan bertukar-tukar pandangan serta idea.

Kami rasa amat bertuah kerana menjadi sebahagian daripada komuniti ahli astronomi seluruh dunia yang akan sama-sama menyaksikan fenomena yang mengkagumkan dan sebuah bukti jelas kekuasaan alam ciptaan Allah SWT!


Dan ketika ini jugalah kami bertemu Cikgu Kassim dan Dr. Rowi yang telahpun sampai ke Turki 2 hari lebih awal dari kami. Berdasarkan maklumat yang diperolehi, terdapat sebuah kawasan yang lebih menarik untuk melakukan cerapan tidak jauh dari Hotel kami menginap.



Sekitar jam 5 petang, kami pun berjalan kaki menuju ke arah kawasan tersebut. Ia terletak lebih kurang 400 hingga 500 meter dari kawasan hotel. Pemandangan di persekitaran cukup indah dan menarik. Kelihatan kesan-kesan runtuhan bangunan yang dipercayai peninggalan sebuah kawasan kota lama. Yang menariknya, runtuhan ini telah dijaga dengan agak baik oleh pihak Turki, walaupun ia sudah berusia ratusan tahun!

Berhampiran dengan kawasan ini, terdapat sebuah Roman theatre yang dibina pada kurun ke-2 masehi! Di sinilah, pihak Exploratorium akan mengadakan rakaman terus menerus gerhana ini menerusi internet.

Pada sebelah malam, setelah menjamu selera, pengerusi NETT, Prof.Madya Dr. Sahar (MFA UM) telah memanggil semua ahli NETT untuk menentukan perancangan pada keesokannya. Dengan badan yang masih letih akibat jet-lag, kami terpaksa membuat keputusan samada untuk mencerap di kawasan hotel ataupun di kawasan runtuhan bersejarah Side.

Saya secara peribadi ingin menyertai ribuan manusia yang dijangkakan akan hadir di kawasan runtuhan tersebut, dan sama-sama merasai suasananya. Namun, apabila difikirkan kembali, terutama dari segi logistik, seperti pengangkutan, kawasan cerap serta isu sumber tenaga (bateri), kami mengambil keputusan untuk berpecah kepada 2 kumpulan. Cikgu Kassim dan Dr.Rowi akan ke kawasan runtuhan bersejarah Side, manakala selebihnya akan cerap dari kawasan hotel.

Selepas mesyuarat, langit sungguh indah dan penuh bintang. Walaupun dari kawasan hotel yang penuh lampu, jelas kelihatan Orion di dalam keadaan berdiri, dan bintang Polaris tinggi di langit. Saya tidak mahu melepaskan peluang ini, dan terus ambil beberapa set foto buruj menggunakan kamera digital Cybershot, di-set pada bukaan exposure selama 8 saat. Bakkata orang, kalau dah fanatik dengan foto buruj tu, tetap fanatik jugak walaupun badan letih teramat sangat.



29-3-2006

Pagi hari cerapan, langit biru sebiru-birunya! Terdapat beberapa lapisan awan nipis di sana-sini, tetapi secara amnya, cuaca amat baik...dan amat sejuk! sekitar 11 darjah celsius!!

Pada jam 7 pagi lagi, kami telah mula memasang peralatan rakaman dan cerapan. Kami agak bernasib baik kerana tidak ramai yang berada di hotel untuk cerap, dan kerjasama dari pihak staf hotel, membolehkan kami mendapatkan lokasi paling strategik!



Kami mengaturkan alat-alat kami seberat mengadap arah selatan.

Secara amnya, dari Negeri Sembilan, Ustaz Ramli akan mengambil foto gerhana menggunakan Nikon D70 menerusi teleskop LX200 8". Antara target utamanya ialah untuk merakam prominence ketika gerhana penuh.

Disebelahnya, Cik Naz dari UM akan merakam gerhana menerusi teleskop Hidrogen-Alpha Coronado! Naz akan mengenalpasti kawasan-kawasan yang kelihatan prominence, dan memberi input kepada Ustaz Ramli untuk memposisikan teleskop beliau.

Ustaz Zaki (Negeri Sembilan) ditugaskan sebagai Timekeeper! Setiap 5 minit dari permulaan gerhana, beliau akan memberi peringatan kepada semua untuk mengambil imej dan foto. Dan ketika masuk fasa gerhana penuh, beliau akan memberi peringatan ketika waktu kritikal seperti kemunculan diamond ring, peringatan untuk buka dan tutup filter dan sebagainya.


Dr.Zainol (UM) akan mengendalikan 3 buah alat! sebuah videocam dan kamera digital akan diletakkan di atas sebuah equatorial mount. Manakala sebuah lagi kamera Nikon (filem) akan cuba merakam gerhana pada medan penglihatan yang luas.

Ustaz Shahudin (Perak) akan menggunakan kamera digital dan cuba merakam imej buruj dan planet yang kelihatan ketika gerhana penuh.

Ustaz Syamsul (Negeri Sembilan) akan mengendalikan kamera digital Sony Mavica untuk rakaman gerhana dari awal hingga akhir pada 3 jenis exposure yang berlainan.

Saya sendiri akan mengendalikan kamera Mallincam menerusi lensa Nikon 40mm-240mm. Pada awalnya kami bercadang untuk menggunakan Mintron Color, tetapi atas sebab-sebab teknikal kami menggunakan Mallincam (B&W). Videonya akan direkod masuk ke dalam sebuah videocam.

Sementara itu, di atas bangunan menempatkan restoren, 2 orang ahli NETT akan bertugas di sana.

Dr.Sahar (UM) akan mengambil imej suasana persekitaran sepanjang gerhana menerusi 2 buah videocam.

Ustaz Zainuddin (Perak) akan mengambil video gerhana menerusi videocam, serta cuba mengambil "moon shadow" yang dijangka akan kelihatan dari arah barat.

Semuanya kelihatan bersedia untuk merakam fenomena gerhana penuh matahari dari Side, Turki!



Semasa menunggu 1st contact, kelihatan sebuah bas berhenti di hadapan hotel. Saya jangkakan, mereka akan berjalan menuju ke arah kawasan runtuhan Side untuk mencerap gerhana. Namun begitu, ramalan saya meleset. Mereka telah datang ke kawasan perkarangan hotel untuk sama-sama mencerap dengan kami!

Rasanya, ini merupakan perancangan licik dari tour guide kami, dan kerjasama dengan pihak hotel, untuk memeriahkan suasana di sini ketika gerhana. Alhamdulillah, sekurang-kurangnya ia akan menjadi lebih meriah dan ceria. Kalau tak silap saya, kumpulan ini ialah dari salah sebuah persatuan astronomi dari Australia!


Beberapa ketika sebelum 1st Contact.

Sesungguhnya kita hanya merancang, Allah jua yang menentukannya. Kamera Mallincam yang saya guna itu, tidak mahu berkerjasama dengan tuannya! Ia tidak mengeluarkan sebarang output ke dalam videocam untuk direkod. Walaupun ia mempunyai sumber tenaga yang mencukupi, ia tetap tidak mahu berfungsi seperti yang dirancang!

Puas saya dan ahli-ahli NETT lain mencari punca masalah tetapi buntu juga! Dr.Sahar yang duduk di atas, pun mula risau dan asyik tanya status kami di bawah!

Sekali-sekala ia dapat signal, tetapi tidak lama lepas tu, ia terus tak mahu berfungsi!

1st Contact!

Tepat jam 12.39 tengahari, kelihatan bahagian barat matahari telah mula sompek sedikit, menandakan bermula fasa gerhana.

Cukup menakjubkan, kerana disebalik silauan matahari yang terang tu, bulan turut berada disebelahnya, dan dalam minit-minit yang mendatang, ia akan perlahan-lahan menutupi cahaya dari bebola matahari yang serba silau dan terang!

Subhanallah. Detik permulaan ini pun saya dah mula rasa berdebar-debar!

Ustaz Zaki pun memulakan tugasnya memberi peringatan untuk semua ahli mengambil foto.

Saya masih lagi buntu mencari penyelesaian masalah saya itu. Tidak keruan dibuatnya! Kemudian, saya pun mengambil keputusan untuk menggunakan sahaja videocam saya yang pada cadangan asalnya untuk ambil suasana kawasan cerapan, lalu digunakan untuk rakam gerhana.

Namun masalah lain pula timbul! Filter mylar sudah kehabisan!

Saya perlukan filter untuk merakam ketika gerhana belum penuh! Fikir punya fikir, saya pun ambil cermin mata matahari, dan lekatkan pada depan kanta video. Alhamdulillah ia berjaya, walaupun tak nampak professional! tongue



Detik-detik seterusnya, berlaku begitu pantas! Gerhana penuh dijangka akan berlaku jam 1.54 tengahari, lebih sejam dari permulaan gerhana, tetapi saat pada jam seolah-olah bergerak pantas dan ikut sedap dia je! smiley


45 minit sebelum gerhana penuh.

Suasana sudah mula terasa sedikit sejuk. Angin mula bertiup dengan kerap. Pada awalnya suhu adalah sekitar 20 darjah celsius. Kami telah dapat bantuan dari staf hotel untuk dapatkan sebuah termometer bagi bacaan suhu. Dr.Sahar dan Ustaz Zainuddin merakam suhu tersebut.


30 minit sebelum gerhana penuh.

Hati dah mula rasa berdebar-debar. Suasana sekeliling kelihatan mendung. Langit masih lagi cerah dengan silauan matahari, tetapi ketika itu matahari sebenar sudah lebih separuh tertutup!

Perasaan ketika itu sentiasa risau, risau takut kamera habis kaset, takut power dah habis, takut sakit perut, takut terkaku ketika gerhana penuh, dan macam-macam perasaan dan sangkaan buruk.



Fenomena bayang-bayang matahari sabit yang jatuh ke lantai dari celah-celah pokok jelas kelihatan. Sungguh indah melihat beribu-ribu imej matahari sabit!


15 minit sebelum gerhana penuh.

Saya minta tolong kepada Ustaz Zaki untuk beri peringatan pada 10 minit terakhir supaya tukar kaset video bagi yang merakam menerusi videocam. Ini bagi memastikan kami tidak terlepas rakaman pada saat-saat gerhana penuh!

Keadaan redup ketika ini seperti redup waktu jerebu melanda Malaysia tahun lepas, sekeliling tidak nampak terang seperti biasa. Masa ini, hati kita sudah tahu sesuatu yang pelik akan berlaku dalam masa terdekat. Ini adalah kerana keadaannya tidak normal. Patutlah haiwan seperti burung mula confuse ketika gerhana.



10 minit sebelum gerhana penuh.


"Tukar tape!" jerit Ustaz Zaki. Peringatan yang agak berguna kerana ketika itu tape saya pun dah mula nak habis! Cepat-cepat tukar ke tape yang baru.

Orang ramai sudah mula menumpukan perhatian ke arah matahari.

Ketika ini, tiba-tiba kelihatan planet Kejora menyinar terang arah barat, hampir dengan ufuk! Ia cukup jelas menyinar seperti sekitar 5 minit selepas waktu Maghrib.

Langit sebelah barat kelihatan semakin gelap warna birunya.

Hati semakin berdebar! 10 minit untuk gerhana penuh matahari yang pertama buat diri saya!


5 minit sebelum gerhana penuh.


"Moon shadow" dengar Ustaz Zainuddin jerit dari atas. Dari lokasi cerapan di bawah agak susah nak lihat kerana terlindung bangunan. Hati saya berbelah bagi samada untuk naik ke atas atau maintain duduk di bawah. Akhirnya saya mengambil keputusan untuk duduk tetap di station saya!

Masa ini, macam-macam nak tengok, dari keadaan langit, moon shadow, suasana sekeliling dan banyak lagi! Memang betul apa yang ditulis oleh veteran-veteran gerhana sebelum ini, kita kena tumpukan hanya pada satu tugas sahaja, dan jangan terlalu ambitious untuk buat banyak kerja dalam satu masa, kerana ketika gerhana otak kita seolah-olah melayang-layang ke sana-sini!


1 minit sebelum gerhana penuh.


Orang ramai dah mula teruja. Saya sendiri pun buat pemeriksaan dan pembetulan terakhir video saya, dan mula tumpukan mata saya ke arah matahari!

60 saat ke totality! Keadaan sekeliling memang jelas sekali begitu redup! Langit sebelah barat dah mula jadi biru gelap!

Kejora semakin terang!

Saat ketika ini seolah-olah bergerak begitu perlahan sekali!!!


15 saat sebelum gerhana penuh.

Terdengar jeritan daripada kawasan runtuhan Side! Kami di sini mula bersiap sedia untuk keselubungi kegelapan. Ustaz Zaki terus menerus memberitahu saat ke totality.

Dengan mata kasar tanpa penapis, saya sudah boleh lihat bentuk sabit matahari, walaupun masih silau.

Langit semakin gelap, sekeliling semakin gelap. Malah gelap yang tiba-tiba ini terlalu sukar untuk saya bersedia, kerana baru seminit yang tadi suasana terang dan redup. Hanya Allah sahaja yang tahu perasaan yang bermain-main difikiranku!


10 saat sebelum gerhana penuh.


"Diamond Ring! Bukak filter!" jerit Ustaz Zaki.

Kami pun serta merta buka filter yang ada pada alat rakaman masing-masing. Tujuannya ialah untuk merakam fasa Diamond Ring yang indah tu!

Saya pun terus alih pandangan ke arah matahari! MasyaAllah!

Saya telah lihat satu kejadian yang sungguh menakjubkan, sungguh indah dan memang tidak disangka.

Ramai yang menyatakan fasa diamond ring itu indah, tetapi apa yang saya lihat ialah fasa SEBELUM diamond ring terbentuk pun sungguh indah dan telah melemahkan kepala lutut saya!



Daripada cahaya silau matahari yang masih ada, muncul satu garisan yang membentuk satu bulatan mengelilingi kawasan bulan. Garisan itu muncul dan bergerak seperti ada orang yang lukis serentak dari kiri dan kanan silauan matahari dan membentuk satu arc dan bertemu di bahagian sebelah kanan bulan. Sebaik sahaja bulatan itu terbentuk, silauan matahari pun padam secara tiba-tiba!

Kami sekarang berada di dalam kegelapan, dan berada di dalam bayang-bayang bulan!

Semuanya gelap. Malah hampir mustahil untuk baca sebarang tulisan ketika ini! Memang gelap betul. Muka orang yang berada disekiling agak sukar untuk cam!



Langit sebelah barat, kelihatan kemerah-merahan seperti senja!

Kejora bersinar gagah di barat! Seolah-olah ingin mengambil alih tampuk kekuasaan daripada matahari.

Angin sejuk terus bertiup!

Tangan saya ketika itu terus menerus memicit butang kamera digital saya.

Lutut saya semakin lemah! Saya terpaksa duduk supaya tidak terduduk!

Dan apa yang saya lihat dengan mata saya di langit cukup menakjubkan.....!!!

Kelihatan sebuah bulatan hitam yang besar berada di langit sambil dikelilingi cahaya putih corona matahari! Ia kelihatan seperti ada orang tebuk lubang pada langit! Seperti ada orang yang ambik matahari, simpan dalam beg, dan tinggalkan sebuah lubang hitam di langit!



Saya begitu terpesona dengan bulatan serba hitam dan besar di langit tu, sehingga terlupa untuk tumpukan perhatian pada kawasan corona!

Dan keadaan orang ramai ketika itu... tidak bising! Saya ingatkan mesti ramai yang bersorak gembira, tetapi sangkaan
saya meleset! Semuanya seperti tergamam melihat keindahan corona matahari yang tergantung tinggi di langit.

Yang kedengaran dengan jelas ialah klik klik bunyi kamera yang terus menerus mengambil foto gerhana!

Corona matahari tidaklah besar dan berliuk-liuk. Ini mungkin disebabkan ketika ini waktu Solar Minimum, Namun ia tetap menarik. Bentuknya sungguh simetri ke kiri dan ke kanan matahari.

Saya cuba lihat ke arah timur, untuk perhatikan samada buruj Orion kelihatan atau tidak. Tiada buruj yang dapat dilihat, malah tidak ada bintang yang dapat dilihat masa ini. Hanya Kejora yang terang-benderang di langit barat. Utarid pun tidak kelihatan. Mungkin jika saya tumpukan lebih masa mencari objek-objek tersebut membolehkan ia dijejaki, tetapi masa sungguh berharga ketika itu, dan mata saya tidak mahu lekang dari melihat gerhana yang sedang berlaku.

"Minit ke-3" jerit Ustaz Zaki.

Wow! cepatnya masa berlalu! Tinggal kurang dari 45 saat sebelum tamatnya gerhana!

Kelihatan ahli-ahli NETT yang lain terus menerus menumpukan tugasan mengambil foto dan video. Mujur tak ada sesiapa yang pengsan! smiley

Tiba-tiba saya ternampak satu titik merah berada di sebelah kanan atau barat bulan! Isyhh! Itu sebuah prominence!! Saya telah dapat lihat prominence matahari dengan mata kasar!

Subhanallah! Memang cukup indah... sungguh merah dan bintik merah tersebut semakin besar dan jelas!

"Tengok, tengok jangan tak tengok! Kalau tak kena tunggu tahun 2009!" Saya sempat bagi peringatan buat rakan-rakan
lain.


Kemudian, kelihatan sebelah barat bulan, bahagian coronanya semakin cerah berbanding yang lain. Itu menandakan gerhana akan berakhir dalam masa beberapa saat sahaja lagi!



Tiba-tiba, muncul sekali lagi diamond ring! begitu indah dilihat dengan mata kasar, benar-benar kelihatan seperti cincin berlian yang besar dan bersinar di langit. Bulatan hitam bulan pun mula hilang, dan cahaya matahari pun kembali menyilau dan menerangi suasana.

Dan masa ini saya dapat lihat moon shadow! Bayang-bayang bulan kini sudah bergerak pantas ke arah timur, menuju ke utara Turki dan ke kawasan utara Asia. Langit sebelah barat matahari kembali cerah, tetapi sebelah kiri matahari masih biru gelap!

Bayang-bayang kami pun mula kelihatan dengan jelas. Cahaya matahari kembali bersinar, dan semuanya kembali normal.

Fenomena Gerhana matahari penuh telah pun tamat!

Semuanya telah berakhir. Allah SWT telah menghamparkan suatu pengalaman yang begitu menakjubkan buat kami semua!

Tidak ada video dan foto yang dapat menunjukkan suasana sebenar ketika gerhana penuh. Perasaan ketika itu cukup menakjubkan! Bayangkan, betapa tepat dan terperincinya alam semesta ini hinggakan bulan dan menutupi matahari dengan begitu tepat sekali!

Apa yang bermain difikiran kami ketika itu? Ada yang terfikir kalau boleh nak ditarik kembali bulan dan tutup kembali matahari! Saya pula terfikir, bila pulak gerhana matahari penuh seterusnya...nak tengok lagi!

Sesungguhnya benar, kejadian gerhana matahari penuh ini memang lain daripada yang lain. Saya berasa begitu bersyukur kerana dapat pergi yang menjadi saksi kebesaran Allah SWT secara LIVE! Dan yang cukup menarik ialah cuaca 2 hari sebelum gerhana hujan lebat, dan cuaca keesokan hari selepas gerhana, mendung! Allahuakbar!


Pada sejam seterusnya, kami terus melakukan rakaman video dan foto sehinggalah tamat gerhana pada jam 3.13 pm. Selesailah tugas kami dan amanah kami untuk kumpulan NETT.

Bagi pihak team NETT yang pergi ke Turki, kami ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pihak, termasuk ahli-ahli NETT yang lain yang tidak dapat hadir, serta yang membantu disebalik tabir menyelaraskan segala urusan sehingga berjayanya ekspedisi ini. Terima kasih diucapkan juga kepada pihak yang sudi memberi sponsor kepada NETT.

Selepas ini, laporan rasmi NETT akan menyusul dan video dokumentari khas ekspedisi NETT di Turki akan menyusul, InsyaAllah. Nantikan kehadirannya! smiley


Sekian..Wassalam



[Foto di Galeri]
Logged

-Shahrin-

Founder FalakOnline

Meade 8" f/10 LX90, 10" f/4.5 Starfinder Dobsonian, 9x63 Vixen Bino, Mintron 12V1-EX, Mallincam Pro B/W, Mallincam Hyper Color, Toucam Pro, Canon 300D.
DinPerak
Perantau Galaksi
****
Offline Offline

Posts: 193


falakperak
View Profile WWW Email
« Reply #1 on: April 10, 2006, 09:02:32 AM »

Cukup memuaskan dan begitu menarik.. memang itulah yang kami semua rasakan ketika berada di Side, Turkey. Pengalaman yang begitu bermakna dan insyaAllah kalau nak tengok lagi kena tunggu tahun 2009 di China. Perak akan sediakan satu sebutharga yang sesuai... Kita akan cuba mengumpul seberapa ramai rakyat Malaysia yang ingin turut serta dalam ekspedisi yang akan datang ini...yuuhhhuuuuuu...... jangan berat kapal terbang sudah la.. afro  evil
Logged

Biar berjuta dugaan... Hidup mesti TERUSS..
Album Falakperak
DinPerak Fotopages
Pages: [1]   Go Up
  Print  
 
Jump to:  

Powered by MySQL Powered by PHP Powered by SMF 1.1 RC3 | SMF © 2001-2006, Lewis Media Valid XHTML 1.0! Valid CSS!
Page created in 0.117 seconds with 19 queries.