Berikut merupakan sebuah ringkasan mengenai peralatan cerapan yang saya gunakan semasa aktiviti pencerapan.

Teleskop Meade LX90, aperture 8 inci, f/10. Ini merupakan teleskop utama saya ketika melakukan cerapan. Ia dilengkapi dengan teknologi GoTo, yang kini merupakan trend pengeluar teleskop di seluruh dunia. Teknologi GoTo membolehkan kita mengarahkan teleskop ini untuk mencari objek secara automatik.

Setting di sebelah ini boleh dikatakan setting yang biasa saya lakukan, lengkap dengan semua sambungan terhadap kamera video Mintron 12v1-EX, output monitor (sebuah TV hitam putih 5.5"), sebuah PDA (ketika ini saya menggunakan Tungsten T) untuk memberi arahan kepada teleskop, sebuah bateri 12V external untuk membekalkan kuasa kepada teleskop dan Mintron.
Masalah utama yang saya hadapi ialah terlalu banyak wire yang berselirat sana-sini. Ia menjadi cukup pening jika saya lakukan di kawasan yang cukup gelap. Kena fikir cara untuk mengurangkan keseliratan wire-wire ini!

Peralatan input, sebuah hand controller Autostar, yang juga merupakan otak bagi sistem GoTo teleskop ini. Autostar ini menyediakan senarai lengkap objek-objek di langit. Saya hanya perlu pilih objek pilihan saya, dan tekan butang "GoTo" pada keypad hand controller ini. Cukup mudah dan pantas.
Namun, saya lebih gemarkan menggunakan PDA (Tungsten T) disambung ke Autostar untuk memberi arahan, kerana interfacenya lebih mudah. Saya guna perisian bernama PLANETARIUM untuk menyampaikan segala arahan kepada sistem Autostar. Perisian ini lengkap dengan carta bintang dan jadual kenampakan objek-objek. Saya hanya perlu klik pada objek yang diingini tanpa perlu mencari nama objek itu satu per satu.

Untuk melihat imej-imej yang diambil menerusi kamera Mintron, saya telah menggunakan 2 peranti: Yang pertama ialah laptop Dell Inspiron 4100 menerusi PixelViewer video capture card (USB + external). Menerusi laptop ini, saya juga dapat merakamkan imej dan disimpan untuk diproses kemudian. Peranti yang ke-2 pula baru sahaja saya mencuba, iaitu sebuah TV hitam putih 5 1/2 ". Ia mempunyai input AV yang membolehkan saya sambung kepada output AV pada Mintron.
Kelebihan menggunakan laptop ialah saya dapat merakamnya, tetapi kelemahan yang amat ketara ialah ia memerlukan sumber kuasa yang berterusan. Kalau hendak diharapkan bateri internal-nya sahaja, setakat 2 jam sahaja. Dengan TV pula saya boleh menggunakannya sepanjang malam tanpa perlu risau kuasa baterinya habis ( ia guna 10 biji bateri AA ), tetapi tak dapat merekodkan apa-apa yang menarik.

Secara umumnya, sistem teleskop yang saya guna menggabungkan 3 jenis alat. Teleskop yang paling asas ialah teleskop pencari, atau finder scope, yang sebenarnya merupakan sebuah teleskop yang tersendiri, tetapi dengan saiz yang lebih kecil. Aperture 50mm dengan kuasa pembesaran 8X. Tujuannya adalah sebagai alat sasaran target yang hendak dicari. Disebabkan kuasanya rendah, maka medan penglihatannya lebih luas lalu memudahkan saya mencari objek-objek.
Teleskop utama bersaiz aperture 8" dengan f/10. Ia merupakan jenis Schidmt-Cassegrain atau SCT. Kelebihan teleskop jenis SCT ialah saiznya yang compact dan pendek, memudahkan kita membawa ke mana-mana. Untuk kuasa pembesarannya, saya gemar menggunakan zoom eyepiece dari vixen, 8mm-25mm.
Kamera Mintron 12V1-Ex merupakan alat merakam yang utama. Di dalam setting di sini, saya gabungkan lens kamera Minolta MC 135mm f/2.8 dengan Mintron, memberi saya medan penglihatan sekitar 3 darjah. Jika saya inginkan imej yang lebih besar, saya terus gantikan eyepiece dengan Mintron. Imej Marikh dan Zuhal diambil dengan cara begini.
Kamera Mintron mempunyai 2 jenis output, BNC-to-RCA dan S-Video-to-S-Video. Kuasanya datang dari external bateri 12V. Ia mempunyai beberapa butang di belakangnya untuk kita keluarkan menu arahan yang dapat dilihat menerusi peranti output.


