Laporan RasmiAktiviti pencerapan juraian meteor Geminids telah dapat dilakukan dengan jayanya di kawasan perkhemahan P2, Ulu Yam. Tinjauan awal saya bersama dengan muzzamir mendapati beberapa kawasan perkhemahan dan perhentian baru di sepanjang jalan ulu yam telah mengelirukan kami.
Sekitar jam 8.45 malam, kami pun mula berkumpul di stesyen Petronas berhampiran dengan simpang menuju ke Ulu Yam. Seorang demi seorang mula muncul di sana. Ahli forum kite, me_ai merupakan yang pertama sampai, diiringi kemudian dengan kamayok dan abang aziz (mymoon) kita. Selepas itu, team UIA (farhana dan geng) muncul dengan 4 buah kereta! Dan kumpulan terakhir ialah
rombongan Haji Halim & Dr. Ariza (dari SignsLab.com ) yang pada mulanya saya sangka akan datang dengan sebuah van, rupa-rupanya datang dengan 7 buah kereta!!

Disamping itu, rombongan dari Kelab Astronomi Starfinder (Phang, Fung, Mok dan lain-lain) turut bersama-sama dengan rombongan FalakOnline. Satu kombinasi yang cukup powerfull dan menarik!

Setelah semua sampai di stesyen Petronas, rombongan ini pun memulakan perjalanan ringkas menuju ke P2. Bukan calang-calang rombongan ini, kerana dengan lebih dari 15 buah kenderaan, ia memecah kesunyian jalan Ulu Yam dan kawasan P2!
Terima kasih kepada Phang dan team Starfinder, kerana menjadi guide ke kawasan cerapan dan menjadikan keseluruhan perjalanan berjalan dengan lancar.

Setiba di P2, cuaca sungguh berawan! dan tidak nampak ciri-ciri ia akan reda. Namun, sebaik sahaja selesai sesi penerangan ringkas selama 15 minit, tiba-tiba sahaja sebiji objek mula kelihatan. Pada mulanya, sifu-sifu yang hadir mengatakan ia adalah Marikh! Namun setelah menggunakan bino dan teleskop mula dipasang, ia sebenanya sebuah bintang, dan sangkaan kami itu adalah Sirius. Tetapi sekali lagi sifu-sifu yang hadir tersalah sangka, kerana rupanya itu adalah bintang Rigel!

Dan Alhamdulillah, selepas itu, langit semakin lama semakin bebas dari awan tebal, terutama sekali di sekitar kawasan buruj Gemini, Orion, Canis Major, Taurus dan Perseus.
Sesi membentang tikar pun bermula!
Walaupun langit hanya kurang 50% bebas dari awan, namun para peserta telah berjaya melihat, lebih kurang 30 meteor di sepanjang cerapan yang bermula sekitar 10.30. Tidaklah banyak seperti yang dijangkakan, kerana saya beranggapan faktor cuaca yang berawan mengekang peserta daripada dapat melihat meteor dengan lebih banyak.
Di samping itu, 2 buah teleskop dan sebuah binokulars telah dipasang untuk mereka yang ingin melihat keadaan objek-objek samawi dengan lebih dekat. Saya telah memasang buat seketika kamera Mallincam dan berjaya menjejaki komet Holmes, yang kini sudah begitu besar, kembang dan kelam!
Menjelang 12 tengah malam, separuh dari peserta beransur-ansur pulang, dan yang terakhir pulang sekitar jam 3 pagi ialah saya sendiri, muzzamir, farhana dan team UIA, serta abang Aziz.
Ini boleh dikatakan perjumpaan dan aktiviti pertama yang dianjur, dibincang dan direalisasikan oleh ahli FalakOnline, dan dibantu oleh team Starfinder. Alhamdulillah ia dapat dilakukan dengan selamat dan jayanya. Terima kasih diucapkan kepada semua yang membantu. Sesungguhnya ia merupakan satu pengalaman baru buat ahli FalakOnline, dan InsyaAllah ia akan banyak lagi menyusul selepas ini!

Jom Teropong!
