|
Ringkasan fenomena yang akan berlaku sepanjang Oktober 2006 Utarid akan menghabiskan sepanjang bulan Oktober ini di langit sebelah barat. Cuba lihat ufuk barat sekitar jam 7.30 petang. Planet ini akan berada 10 darjah di atas ufuk, pada awal bulan Oktober, dan akan perlaha-lahan semakin tinggi sehinggalah ia mencapai posisi paling tinggi, iaitu pada 24hb Oktober. Selepas dari tarikh itu, ia akan perlahan-lahan rendah kembali ke ufuk.
Perhatikan juga kehadiran planet Musytari menjelang minggu ke-3 dan ke-4 bulan ini, di sebelah kanan dari Utarid. Musytari merupakan objek yang paling cerah di antara kedua-dua objek ini. Dan pada petang 24hb, bulan sabit muda akan berada hampir dengannya, membentuk himpunan planetari yang indah.
Kejora akan berada di posisi conjunction dengan matahari pada 23 Oktober, dan tidak dapat dicerap sepanjang bulan ini.
Marikh akan berada di posisi conjunction dengan matahari pada 23 Oktober, dan tidak dapat dicerap sepanjang bulan ini.
Musytari merupakan objek yang cerah di langit barat, sekitar altitud 30 darjah di atas ufuk jika dicerap pada jam 7.30 petang. Dan menjelang akhir bulan ini, ia akan semakin rendah ke arah ufuk barat. Perhatikan ia akan berada hampir dengan planet Utarid (kurang dari 5 darjah) pada akhir bulan Oktober.
Zuhal berada tinggi di langit timur, sekitar Subuh, pada ketinggian 30 darjah pada awal bulan, dan semakin tinggi menjelang akhir Oktober. Ia kelihatan seperti sebiji bintang putih kekuningan di dalam buruj Leo. Bintang Regulus akan berada ke bawah kanan darinya. Pada 16 dan 17 Oktober, Bulan sabit tua akan berada cukup hampir dengan planet ini. Jika anda mempunyai teleskop, perhatikan perubahan sudut penglihatan gelangnya, yang mana berbanding sebelum ini, gelangnya akan kelihatan semakin "tertutup", iaitu semakin mengecil.
Uranus akan berada di dalam buruj Aquarius sepanjang bulan ini, iaitu di langit timur (sekitar Isya') dan agak tinggi berhampiran dengan kedudukan zenith. Ia boleh dikesan dengan mudah menggunakan binokular, di mana ia kelihatan seperti bintang biru-kehijauan, dengan syarat kita tahu dengan tepat kedudukannya.
Neptune berada di dalam buruj Capricorn, pada magnitud 7.9 , agak kelam dan agak sukar untuk mengesannya di sebalik bintang-bintang yang ada di langit.
Pluto berada di langit barat selepas maghrib, di buruj Ophiuchus, pada magnitud sangat kelam, iaitu 14. Anda perlu menggunakan sekurang-kurang teleskop berukuran 8 inci ke atas untuk menjejakinya.
|