|
Samada kita sedar atau tidak, sebuah komet sedang mencipta sejarah dengan menjadi antara komet yang paling cerah pernah melintasi Bumi sejak 30 tahun yang lalu!
Komet McNaught ketika artikel ini ditulis, sedang melintasi hampir dengan matahari, dan menyinar pada kadar kecerahan jauh lebih cerah dari planet Kejora! Secara umumnya, ia sedang begerak dari utara matahari menuju ke arah selatan. Oleh itu ahli astronomi di Hemisfera Utara dan Selatan berpeluang cerah untuk mejejakinya rendah di kaki langit selepas waktu Subuh atau Maghrib waktu tempatan masing-masing.
(Foto oleh
This email address is being protected from spam bots, you need Javascript enabled to view it
, , Bakersfield, California Jan. 11, 2007)
Agak malang kita di Malaysia, geometri posisi komet ini tidak memungkinkan kita melihatnya dengan mudah. Ini adalah kerana ia tidak akan mencapai ketinggian (altitud) melebihi 4 darjah sepanjang 2 minggu ini!
Jika kita tinjau di laman-laman web, kita berpeluang melihat betapa indahnya komet ini melayari langit senja rendah di ufuk langit! Boleh dikatakan ia lebih indah berbanding komet Hale-Bopp yang lepas.
Sejarah Komet
Komet ini dijumpai oleh seorang ahli astronomi, Robert H. MacNaught dari balaicerap Siding Spring Observatory , New south wales, Australia, pada 7 Ogos 2006. Ketika itu komet tersebut berada di dalam buruj Scorpio, bersinar pada magnitud 17.3 , iaitu hampir 25,000 lebih kelam berbanding objek paling kelam boleh dilihat dengan mata kasar.
Kemudian, Brian Marsden dari Balaicerap Smithsonian di Cambridge, telah melakukan pengiraan orbit komet ini, dan mendapati ia akan melintasi matahari pada 12 Jan 2007, pada jarak 25.6 juta km, jauh lebih hampir kepada matahari berbanding orbit planet Utarid! Ini menjadikan komet ini berpotensi menyinar dengan begitu terang, tetapi berpotensi juga untuk sukar dilihat kerana terlampau hampir dengan matahari!
Menjelang akhir Disember, komet ini semakin terang bersinar pada kadar yang memberansangkan. Dan ketika ini ia sudah pun mencapai magnitud -4 atau -5 !! Ini menjadikan ia berada di antara 5 komet tercerah sejak 30 tahun .
Nota: Jika anda menggunakan perisian untuk mendapatkan magnitud terkini komet McNaught, jangan ambil bulat-bulat nilai yang diberi. Komet adalah sebuah objek yang sukar untuk tentukan nilai magnitud sebenar. Ini disebabkan kita tidak akan dapat mengagak dengar tepat apa yang akan berlaku terhadap jasadnya apabila ia menghampiri matahari. Sebarang perubahan agak memberi kesan langsung terhadap kecerahannya.
Peluang kita di Malaysia? Memang agak tipis, dengan keadaan cuaca yang tidak menentu sekarang, banjir besar dan sebagainya. Namun, tinjau-tinjaulah maklumat terkini di internet, terutama laman web Falak-Online , untuk sama-sama mengikuti perkembangan terkini Komet McNaught yang cukup hebat ini!
Jom Teropong!
|