|
(Siri imej planet Zuhal yang diambil oleh penggiat astronomi amatur Alan Friedman dari Buffalo, New York. Beliau menggunakan teleskop 10 inci, dan membuat animasi ini dari tahun 2004 hingga 2007. Perhatikan perubahan sudut gelang planet, hasil daripada kombinasi kesan sudut paksi Zuhal dan pergerakan orbit Bumi ketika mengelilingi matahari. Sumber spaceweather.com)
Zuhal akan berada di posisi istiqbal atau opposition pada 10 Feb 2007. Pada ketika ini, Matahari, Bumi dan Zuhal akan berada pada satu garisan yang lurus, dengan Bumi berada di tengah-tengah. Zuhal pada ketika ini akan disinari cahaya matahari sepenuhnya, fenomena hampir serupa ketika bulan purnama!
Apa yang bakal dilihat nanti? Ia bergantung penuh dengan peralatan yang digunakan. Namun apa yang pasti, sekecil mana pun teleskop yang digunakan, kita akan dapat lihat keadaan planet Zuhal lain daripada yang lain.
Jika kita menggunakan teleskop yang kecil, sekitar 3 inci ke bawah, zuhal akan kelihatan seperti sebuah objek berbentuk bujur. Gelangnya tidak sejelas dalam teleskop yang besar, tetapi bentuk keseluruhannya pun sudah cukup menunjukkan kehadiran gelangnya.
Apabila kita menggunakan teleskop yang semakin besar saiz cermin atau kantanya, kita sudah mula dapat mengesan beberapa buah satelit semulajadinya, terutama sekali satelit Titan. Gegelang Zuhal akan lebih jelas kelihatan, dan kawasan yang dipanggil sebagai Cassini Division, kawasan gelap yang seolah-olah membahagikan gelang planet ini, akan dapat dilihat dengan mudah.
Jika kita menggunakan teleskop lebih besar serta eyepiece yang memberi kuasa pembesaran yang tinggi, alur-jalur bewarna perang dan keemasan mungkin dapat dijejaki pada permukaan Zuhal.
Satu lagi tips yang patut diambil kira ialah, ceraplah planet ini ketika ia tinggi di langit. Jika ia masih berada hampir dengan ufuk, keadaan udara yang tidak stabil sekitar kawasan tersebut akan menyebabkan imej Zuhal dalam teleskop tidak terang dan kelihatan berombak-ombak!
Zuhal akan berada di langit sepanjang malam. Oleh itu gunalah peluang ini untuk menyaksikan keindahan planet ini. Perhatikan juga sudut bukaan gelang Zuhal kali ini lebih kecil berbanding tahun-tahun lepas. Satu lagi fenomena yang menarik untuk diperhatikan.
Apa lagi, jom teropong!
|