|
 (Photo details: Canon EOS 350D, ISO800, 8 sec exposure.by
This email address is being protected from spam bots, you need Javascript enabled to view it
of Semovci, Croatia, took this picture on April 8th Source:Spaceweather.com)
Minggu ini, kita akan dapat melihat bukti planet-planet sememangnya bergerak dengan langit dan tidak berada tetap di satu-satu kedudukan.
Jika kita keluar selepas Maghrib dan pandang arah barat, iaitu arah di mana matahari terbenam, akan kelihatan planet Kejora (Venus) yang bersinar dengan kecerahan yang tidak dapat ditandingi oleh mana-mana objek di langit ketika ini (selain daripada matahari dan bulan).
Apa yang menarik ialah, bermula hari ini sehinggalah 13 April nanti, planet Kejora akan dilihat berada begitu hampir dengan gugusan bintang the Pleaides, atau the Seven Sisters, atau juga dikenali M45.
Sepertimana semua sedia maklum, gugusan M45 ini merupakan antara gugusan yang cukup cerah dan mudah dilihat di langit. Namun, masalah yang dihadapi oleh kebanyakkan daripada kita ialah kedudukan tepatnya di dalam kawasan buruj Taurus ini.
Oleh itu,diizinkanNYA, planet Kejora akan bergerak hampir dengannya, dan seterusnya boleh dijadikan sebagai panduan atau tanda jalan bagi menjejaki kedudukan M45 ini.
Secara kasarnya, M45 akan berada sebelah kanan dari kedudukan planet Kejora, pada lingkungan jarak kurang 3 darjah sahaja, iaitu lebih kurang selebar jari kita apabila dihalakan ke langit.
Mata kasar akan membolehkan kita melihat M45 sebagai suatu kumpulan bintang yang agak kelam, tetapi begitu rapat antara satu sama lain.
Dan jika anda memiliki binokulars, kedua-dua objek ini akan dapat dilihat dengan begitu mudah dan jauh lebih jelas!.
Bagaimana pula dengan teleskop? Selalunya, teleskop mempunyai ruang penglihatan yang agak terhad. Lalu, adalah agak mustahil untuk memuatkan kedua-dua objek ini di dalam satu medan penglihatan yang sama.
Apabila kita perhatikan posisi Kejora dan M45 setiap hari, kita akan dapati menjelang 11 April, ia akan bergerak menghampiri antara satu sama lain. Dan selepas tarikh itu, ia akan kembali berjauhan.
Ketika anda menikmati fenomena ini, bayangkanlah betapa luasnya alam semesta ini. Kejora berada 'hanya' 175 juta km dari Bumi, dan cahayanya mengambil masa 9 min 42 saat sahaja untuk sampai ke mata kita. Namun, M45 berada begitu jauh,sehinggakan cahaya darinya mengambil masa selama 440 Tahun untuk sampai ke Bumi! Subhanallah.
Maklumat tambahan berkenaan M45 boleh didapati di sini. Jom teropong!
|