|
Angkasawan Malaysia Ke ISS Ditentukan Pada Saat Akhir |
|
|
|
|
Written by Shah
|
|
Monday, 24 September 2007 |
|
Sumber: BERNAMA: PUTRAJAYA, 24 Sept (Bernama) -- Angkasawan Malaysia yang akan ke stesen angkasa antarabangsa pada 10 Okt depan akan ditentukan pada saat-saat akhir setelah kedua-dua calon negara kini diiktiraf sebagai angkasawan. Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata Dr Sheikh Muszaphar Shukor ditempatkan dalam kumpulan krew pertama untuk misi Soyuz 15-S manakala Kapten Dr Faiz Khaleed menganggotai kumpulan krew kedua. "Segala perubahan terakhir dalam pemilihan calon yang akan mengikuti misi ini akan ditentukan oleh pihak Russia kelak. Proses ini perlu bagi memastikan misi berjalan dengan lancar dan jayanya," kata Abdullah ketika membuat pengumuman itu yang disiarkan secara langsung dari pejabatnya di sini hari ini. Kedua-dua angkasawan negara akan berada di Baikonur Cosmodrome, Kazakhstan mulai 28 Sept bagi menjalani latihan terakhir sebelum pelancaran 10 Okt depan. Beliau berkata keputusan bagi pemilihan angkasawan negara berdasarkan kepada perakuan jawatankuasa panel pemilihan yang dipengerusikan oleh Tun Hanif Omar berasaskan kepada mesyuarat jawatankuasa kerja Russian Intergovernmental Board dan juga laporan akhir penilaian persediaan misi Soyuz 15-S oleh pihak agensi angkasa lepas Russia (Roscosmos). Abdullah berkata kerajaan amat berbangga kerana Lembaga Penetapan Krew telah mengiktiraf bahawa kedua-dua calon angkasawan negara telahpun lulus dengan cemerlang dan mereka layak untuk mewakili Malaysia bagi misi pertama negara ke angkasa lepas. Ini bermakna, katanya, negara telah dapat melahirkan dua anak Malaysia yang boleh mengikuti misi ke angkasa lepas pada bila-bila masa diperlukan serta diberi pengiktirafan oleh badan latihan angkasawan antarabangsa. Selain Dr Sheikh Muszaphar, 35, pegawai perubatan dari Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM), pihak Russia telah mencadangkan kumpulan krew pertama untuk misi Soyuz 15-S terdiri daripada Yuri Malechenko dari Russia dan Peggy Whitson dari Amerika Syarikat. Kumpulan krew kedua terdiri daripada Sharizan Sharipov dari Russia dan Michael Fincke dari Amerika Syarikat selain Kapten Dr Faiz, 27, yang merupakan seorang doktor gigi dengan Angkatan Tentera Malaysia. "Bagi pihak kerajaan dan seluruh rakyat Malaysia, saya mengucapkan selamat maju jaya dan saya berdoa agar misi ini akan berjalan sebagaimana dirancangkan dengan selamat dan jayanya," kata Abdullah. Program untuk menghantar angkasawan Malaysia ke angkasa lepas dimulakan pada 2003 apabila Russia bersetuju menghantar seorang rakyat Malaysia ke ISS sebagai sebahagian daripada pembelian 18 jet pejuang Sukhoi 30-MKM bernilai RM3.4 bilion buatan Russia oleh Malaysia. Sementara itu, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Seri Dr Jamaludin Jarjis berkata penamaan krew di saat-saat akhir adalah perkara biasa memandangkan apa sahaja boleh berlaku dari sekarang sehinggalah waktu pelancaran. "Ingat tak Yuri Gagarin (manusia pertama di angkasa lepas)... beliau bukanlah pilihan pertama. Beliau adalah pilihan kedua tetapi terpilih di saat-saat akhir memandangkan krew pilihan utama menghidap demam campak," katanya. Beliau berkata keputusan akhir mengenai siapakah yang akan berada dalam Soyuz akan ditentukan oleh pengarah misi Russia sama ada pasukan krew pertama atau pasukan krew kedua atau pasukan campuran. Dr Jamaludin mengesahkan sekurang-kurangnya seorang angkasawan Malaysia akan berada dalam roket Russia yang akan dilancarkan dari Baikonur Cosmodrome, Kazakhstan pada 9.21 malam (waktu Malaysia), 10 Okt.
|