|
Ekor Komet Encke putus dirempuh CME! |
|
|
|
|
Written by Shah
|
|
Tuesday, 02 October 2007 |
Kapal angkasa NASA, STEREO-A, yang sedang berada di dalam orbit untuk mengkaji fenomena CME ataupun Coronal Mass Ejection dari matahari dan kesannya terhadap atmosfera bumi, telah berjaya merakam sebuah kejadian yang cukup menakjubkan.
Komet Encke, sebuah komet yang mengelilingi matahari setiap 3.3 tahun, sedang berada agak hampir dengan matahari, iaitu di dalam orbit planet Utarid, apabila sebuah CME telah merempuhnya, dan memutuskan ekor komet tersebut buat beberapa ketika.
Penyelidik di Naval Research Lab di Washington, D.C. , Amerika Syarikat, Angelos Vourlidas, nyata amat terkejut dengan hasil rakaman ini. Ini adalah kerana fenomena rempuhan CME terhadap komet-komet yang berada dekat dengan matahari mungkin selalu berlaku, tetapi ini adalah kali pertama kejadian ini berjaya dirakam.
Animasi di atas menunjukkan kejadian tersebut. Komet Encke sedang bergerak dari atas ke bawah frame imej tersebut, apabila objek yang kelihatan seperti awan atau kabus, bergerak dari kanan ke kiri. "Awan" ini ialah CME yang berada di angkasalepas. Sebaik sahaja bahagian CME yang paling besar merempuh komet Encke, perhatikan ekornya putus seketika, sebelum ia kembali normal.
Subhanallah.
|
|
Last Updated ( Tuesday, 02 October 2007 )
|