|
Bulan kembali mengiringi Kejora |
|
|
|
|
Written by Shah
|
|
Friday, 02 December 2005 |
Bulan Zulkaedah menjelang kembali, dengan iringi tarian objek-objek cakerawala yang tercerah di langit iaitu Bulan dan Kejora. Jika kita tinjau suasana langit sebelah barat , sebaik sahaja selepas maghrib, kita pasti akan dapat melihat planet Kejora menyinar begitu terang dan indah di langit barat. Ia kelihatan seperti sebiji bintang yang amat cerah dan tidak berkelip. Anda tentu masih ingat himpunan Kejora bersama-sama dengan Musytari dan bintang Spica serta Bulan sekitar 31 Ogos lepas? Kali ini Musytari telah pun hilang pandangan pada langit petang, dan kembali menyinar di langit timur sekitar Subuh. Hanya tinggal Kejora sahaja berseorangan merantau ruang angkasa barat ketika ini.
Namun, pada 4 dan 5 Disember ini, Kejora akan sekali lagi dikunjungi dan ditemani oleh objek paling glamour dan popular di langit, iaitu Bulan. Bulan kali ini, sebagaimana diketahui semua, menandakan perginya bulan Syawal dan munculnya kembali bulan Zulkaedah, berada pada fasa bulan sabit muda yang nipis. Pada ketika fasa inilah, kita akan dapat lihat kesan earthshine , iaitu cahaya dari bumi memancar dan menerangkan sedikit bahagian Bulan yang gelap. Pada 4 Disember nanti (lihat simulasi di atas) , Bulan akan berada di sebelah bawah Kejora. Keesokan harinya pula, 5 Disember, Bulan akan berada di sebelah atas Kejora pula. Perhatikan Bulan sentiasa bergerak ke arah Timur, relatif kepada bintang-bintang dan planet-planet di langit. Pada tarikh tersebut juga, merupakan peluang bagi anda yang minat dalam bidang fotografi, untuk mengambil foto kedua-dua objek tersebut. Jangan takut untuk mencuba pelbagai setting pada kamera kita, untuk mendapatkan imej yang paling baik. Selepas itu, jangan lupa poskan imej anda di forum Falak-Online! :-) Jom teropong
|
|
Last Updated ( Saturday, 09 September 2006 )
|