|
Apabila kita pandang ke arah timur sekitar jam 10 malam , ke bawah dari buruj Orion dan ke bawah kanan dari pasangan bintang Castor & Pollux, kita akan diketemukan dengan planet Zuhal.
Ia akan kelihatan seperti sebiji bintang yang cerah, dan sudahpun kembali ke langit malam sebelum waktu tengah malam. Namun, yang istimewanya pada bulan Januari dan bulan hadapan, ialah kedudukan Zuhal yang begitu hampir dengan sebuah gugusan bintang yang dipanggil Beehive Cluster, di dalam buruj Cancer.
Dengan mata kasar, memang agak sukar untuk menjejaki gugusan ini, namun dengan binokulars, ia cukup mudah dilihat. Seperti mana saya bincangkan dalam artikel "Fenomena Januari 2006", Zuhal akan berada di dalam lingkungan kurang 1 darjah dari gugusan ini. Tetapi disebabkan saiz gugusan ini agak besar, ia paling sesuai dicerap menggunakan binokular sahaja. Jika kita menggunakan teleskop, kita akan hanya melihat sebahagian sahaja daripada bintang-bintang gugusan ini. Ada memiliki kamera digital? Cuba gunakan peluang ini untuk mencuba pelbagai setting aperture dan exposure time sehingga dapat merakam kedua-dua Zuhal dan Beehive Cluster ini! Kemudian jangan segan silu poskan imej anda di Forum Falak-Online!  Jom Teropong!
|