|
Alhamdulillah, saya telah selamat pergi dan kembali ke Konvensyen Astronomi USM pada 10-12 Mac 2006 lepas.
Dan sekali lagi, saya berkesempatan untuk bertemu dengan rakan-rakan seluruh negara yang turut hadir ke konvensyen kali ini. Sepertimana tahun-tahun lepas, sesi cerapan telah dilakukan di Padang Kawad USM pada malam Jumaat dan malam Sabtu.
Langit pada malam Jumaat, pada awalnya agak sesuai untuk dilakukan cerapan, dengan Bulan dan Zuhal berada tinggi di kepala, walaupun awan agak banyak dan sekali sekala menutupi objek-objek di langit.
Saya bernasib baik kerana team KUSZA sudi berkongsi projektor, untuk memancarkan imej langit pada layar putih mereka. Walaubagaimanapun, saya tidak dapat untuk menggunakan kamera Mallincam, kerana atas sebab-sebab yang masih belum ditentukan, ia tidak boleh mencapai fokus! Oleh itu, saya terpaksa menggunakan kamera Mintron.
Pengunjung yang hadir bernasib baik untuk melihat kemampuan kamera integrated ini, yang mana kamera tersebut berupaya merakam buruj-buruj di langit, walaupun pada hakikatnya dengan mata kasar tak nampak!
Pada malam kedua, cuaca cukup baik! Pengunjung sekali lagi berpeluang melihat Zuhal dan Bulan bersama kawah-kawahnya pada layar yang besar tanpa perlu beratur panjang! Inilah Video Astronomi!
Dari segi gerai-gerai pameran, tahun ini kelihatan agak kurang berbanding tahun lepas, begitu juga jumlah teleskop yang dipasang pada malam cerapan. Namun begitu, ia ada hikmat tersendiri, yang mana bagi saya , konvensyen tahun ini lebih tenang dan rileks!
Gembira juga dapat bertemu dengan Dr.Mustapha Nasir di PUSKAL, Sabah, setelah sekian lama berbincang dalam email! Syarahan beliau berkenaan Radio Astronomi cukup menarik dan teruja. Nampak gayanya lepas ini, boleh lah saya kembangkan ke bidang ini! :-)
Terima kasih diucapkan kepada pihak penganjur, atas kesudian menjemput saya memberi syarahan dan berkongsi pengalaman, dan atas "hospitability" yang cukup sempurna.
Jika anda turut hadir di konvensyen tersebut, kongsilah pengalaman dan foto anda di forum.
Foto konvensyen saya dan Kamayok boleh dilihat di Galeri.
Kita bertemu lagi di lain aktiviti!
|