|
Program syarahan dan sesi cerapan bersempena dengan Program Remaja, Masjid Al-Falah USJ 9 Subang Jaya, telah diadakan pada malam semalam (18 Mac 2006) dan awal pagi tadi. Slot yang dianjurkan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bertujuan untuk membangkitkan minat terhadap ilmu astronomi di kalangan masyarakat, khasnya kepada muda-mudi muslim di kawasan sekitar.
[Lihat foto di Galeri ] [Lihat Lokasi Cerapan melalui Google Earth ]
Allah maha Kaya, ketentuanNya tidak ada sesiapa yang mampu menyekatnya. Langit pada sesi cerapan semalam dilitupi awan tebal sehingga ke akhir majlis. Walaupun pada awalnya, ketika pihak Mufti sedang mendirikan peralatan, kelihatan bintang-bintang cerah, seperti Sirius, Betelguese, Rigel serta planet Marikh dan Zuhal, menyinar dengan bersusah-payah disebalik lapisan awan dan jerebu.
Walaubagaimanapun, sesi syarahan tetap diteruskan di kawasan padang masjid. Hadirin berpeluang menyaksikan sendiri kebesaran alam semesta ciptaan Allah SWT , dengan menerokai ke seluruh pelusuk alam semesta menggunakan perisian seperti Starry Night dan Celestia. Sesi sebelah pagi Ahad pula, cadangnya untuk mencerap matahari. Namun sekali lagi Allah tidak mengizinkan para peserta untuk melihat dan meneropong matahari menerusi teleskop LX200 kepunyaan Jabatan Mufti Selangor. Sesi pergulungan dan penutup di buat di dalam dewan masjid. Terima kasih buat ahli falak-online kita, kamayok dan isteri, kerana sudi hadir untuk sama-sama membantu dan memeriahkan program ini! Terima kasih kepada pihak pegawai masjid Al-Falah dan kariah-kariah, serta adik-adik peserta program remaja, kerana sudi hadir dan sama-sama berbincang dan berkongsi pengalaman dan minat sepanjang program tersebut. Mudah-mudahan kita akan sama-sama mendapat hidayah daripada Allah di dalam bentuk perkasaan ilmu, terutama di dalam ilmu falak, untuk dijadikan asas pemantapan iman kita, InsyaAllah. Jom Teropong!
|