(Foto oleh John Chumack dari Yellow Springs, Ohio . Sumber Spaceweather.com)
Komet McNaught C/2009 R1 kini sedang rancak bergegas menuju ke matahari dan sedang memancar dengan kecerahan sekitar magnitud 6.
Lokasinya sekarang di dalam buruj Perseus rendah di ufuk sebelah Timur Laut. Sekitar jam 6 pagi, ketinggian altitudnya ialah 20 darjah.
Agak malang kita di Malaysia, menjelang ia bergerak hampir ke matahari, ia semakin hari semakin rendah ke ufuk dan menyukarkan kita mencerapnya. Negara-negara di latitud ke utara mempunyai peluang lebih besar untuk mejejakinya.

Petang tadi, saya ambil peluang dari masa yang terluang untuk merekod imej planet Venus menerusi teleskop 8" LX90 dengan menggunakan TouCam Pro. Disebabkan pada waktu itu, planet ini sudah agak rendah, saya terpaksa angkut teleskop naik tingkat 2, dan mencerap menerusi tingkap ;-) . Suhu yang tidak seimbang di dalam rumah dan luar, beserta kedudukan altitud planet yang rendah menyebabkan keadaan planet ini seperti bergelora.
Rock Mallin sekali lagi telah memecah tradisi visual astronomy dengan memperkenalkan sebuah lagi produk baru bernama MallinCam VideoFinder. Alat ini menggunakan kamera video yang amat sensitif dan digabungkan dengan kanta wide-angle, lalu membolehkan ia menghasilkan sebuah medan penglihatan yang luas. Ia dengan mudah boleh dijadikan sebagai 'findercope' untuk teleskop yang sedia ada, dan memaparkan imej langit secara langsung atau Live di televisyen atau monitor PC.

