Kehadiran planet Musytari di langit malam semakin menyerlah apabila ia terbit semakin awal setiap hari menjelang istiqbalnya pada bulan Ogos nanti. Ia bersinar pada magnitud -2.6 sekarang, dan dengan mudah menjadikan sebagai objek keempat paling cerah di langit.
Menerusi teleskop, planet ini cukup besar dan begitu mengasyikkan untuk diperhatikan. 4 buah satelit semulajadi Galileans sentiasa mengekori planet tersebut. Di samping itu, formasi awan yang sentiasa berubah-ubah cukup jelas memberi gambaran kepada kita bahawa planet ini begitu 'hidup' dengan aktiviti.
Namun, baru-baru ini, ahli astronomi amatur serta perakam planetari terkenal dari Filipina, Christopher Go, mendapati sebuah lagi tompok merah gergasi, yang hampir meyamai saiz tompok gergasi merah (Great Red Spot) telah terbentuk di hemisfera utara Musytari. Foto (di sebelah) yang diambil pada 17 Jun lepas menunjukkan dengan jelas kehadiran tompok merah yang baru ini. Menurut Go, beliau telah memerhatikan tompok ini sejak bulan Mei, dan mendapati ia sedang mengembang dan membesar. Minggu lepas, John Rogers dari British Astronomical Association telah mengeluarkan isyarat supaya kita semua terus meningkatkan pemerhatian kita terhadap fenomena ini.
sumber: spaceweather


