Sesuatu yang menarik sedang berlaku dan dapat dilihat dipersekitaran sistem gelang planet Zuhal.
Menjelang pertengahan Ogos ini, orbit Zuhal akan berada di posisi equinoks. Ini bermakna, ia akan berada di kedudukan satah orbit yang separas dengan matahari. Ketika ini, sistem gelang Zuhal, jika dilihat dari matahari, akan 'lenyap' dari pandangan kerana kita sedang melihat tepat pada sisinya.
Harus diingat, tebal gelang utama Zuhal, iaitu gelang A,B dan C adalah hanya 10 meter sahaja!
Tetapi yang lebih menarik kali ini ialah imej yang diambil oleh kapal angkasa Cassini. Menerusi lensa dan kedudukan orbitnya sekarang, Cassini telah merakam seolah-olah satu 'gelombang' besar yang berlaku di gelang planet tersebut berhampiran dengan orbit bulan bernama Daphnis.
Sistem gelang planet Zuhal terdiri daripada debu dan ais yang halus. Ia terserak di dalam keluasan yang amat hebat, tetapi ia boleh dikatakan amat 'rata'.
Di antara gelang-gelang tersebut, terdapat banyak bulan-bulan kecil yang sedang mengorbit. Kajian para saintis yang diterbitkan di dalam Astronomical Journal Illustrate menunjukkan kehadiran bulan-bulan ini akan mengganggu partikel-partikel halus di dalam gelang itu. Gangguan ini akan menyebabkan pergerakan partikel-partikel ini berubah-ubah dan menghasilkan gumpalan-gumpalan yang agak besar berbentuk horizontal dan vertikal.
Gumpalan ini amat susah untuk dilihat pada waktu-waktu lain, dan juga mustahil dapat dicerap dari Bumi. Namun, kombinasi peralatan kamera yang canggih Cassini, serta posisi gelang Zuhal yang serata dengan matahari, membolehkan kita melihatnya buat kali pertama.
Imej di sebelah menunjukkan pandangan gelang dari 'atas'. Jelas kelihatan beberapa timbunan atau gumpalan yang terbentuk. Dipercayai, tinggi timbunan yang dilihat itu boleh mencecah sehingga 1.5 km tinggi! Timbunan ini seperti ombak yang berlaku di pantai. 'Ombak' ini terhasil apabila bulan Daphnis (titik bulat kecil dalam gambar) bergerak di kawasan tersebut dan gravitinya mengganggu partikel-partikel berhampiran.
Gambar ini betul-betul nampak 3D kerana kita dapat lihat bayang-bayang timbunan atau gumpalan yang terhasil, jatuh pada kawasan gelang dibelakangnya!
Subhanallah!
Sumber: NASA
Credit: NASA/JPL/Space Science Institute


