Di antara kesemua 8 buah planet utama di dalam sistem suria kita, hanya sebuah planet yang memiliki warna biru yang amat ... biru! Planet tersebut ialah planet Neptune. Pada kedudukan ke-8 terjauh daripada matahari, planet Neptune berada di kedudukan cukup jauh daripada matahari sehingga menyukarkan kita melihat atau menjejakinya. Malah kecerahannya pada sekitar magnitud 8, adalah di bawah paras kecerahan yang mampu dilihat oleh mata manusia.
Tetapi menerusi binokular atau teleskop, paras kecerahan tersebut amat senang untuk dijejaki. Namun, datang pula halangan lain. Bagaimana kita hendak mengenalpasti yang mana satu planet Neptune di sebalik jumlah bintang yang banyak?
Jangan khuatir! Planet Musytari datang membantu! Dalam masa beberapa hari ini, Musytari berada kurang 1 darjah daripada kedudukan planet Neptune. Ini bermaksud kedua-dua planet ini boleh muat di dalam satu medan penglihatan sebuah teleskop berkuasa rendah!
Perkara pertama yang anda harus lakukan ialah mencari planet Musytari. Ketika ini, planet gergasi ini terbit sekitar jam 1.30 malam waktu Kuala Lumpur. Ia akan kelihatan seperti sebutir bintang yang amat cerah di ufuk langit timur. Menjelang sekitar 5 pagi, ia akan berada pada paras kedudukan 60 darjah tinggi, iaitu hampir tegak ke atas kepala. Adalah agak mustahil untuk tidak menjumpai planet ini kerana ia merupakan objek paling cerah di persekitaran langit atas kepala pada waktu tersebut.
Kemudian, gunakan teleskop yang sedia ada, dan perhatikan berhampiran dengan Musytari. Mengikut pengalaman saya sebelum ini, planet Neptune akan kelihatan seperti sebutir 'bintang' kebiruan. Malah jika diamati betul-betul, ia tidak kelihatan seperti titik tetapi membentuk sebuah bulatan yang agak jelas.
Untuk bayangkan sejauh mana 1 darjah itu, Bulan di langit bersaiz 1/2 darjah. Oleh itu, 1 darjah menyamai dua kali diameter bulan di langit.
Jom cuba!


