Jika anda ternampak muka saya tengah TT (Teh Tarik) ni, bermakna anda telah selamat mengharungi 3 hari bumi tak jadi bergelap, dan tarikh 21hb Dis yang penuh tragis dan huru-hara (kononlah).

:-D

Nak ceritanya, Falak Online telah pun berpindah rumah. Bermula sekarang silalah kemaskini link ke WWW.FALAKONLINE.NET ,  tak perlulah letak apa-apa selepas tu, kerana ia akan redirect ke muka hadapan BARU yang sepatutnya.

Laman lama (yang anda lihat sekarang ni), InsyaAllah akan kekal untuk beberapa bulan mendatang. Ia akan menyenaraikan KESEMUA artikel lama saya di FO, bagi rujukan anda semua. Maka, kalau anda nak masih nak marah-marah kat saya berkenaan artikel "3 hari bergelap tu" , masih boleh berbuat demikian, saya terima dengan hati terbuka! :-)

Apa pun, InsyaAllah 2013 mendatang akan terdapat beberapa pembaharuan yang saya dan rakan-rakan Personaliti Astronomi lain usahakan, demi kemajuan bidang Astronomi di Malaysia.

Jom dan Selamat Datang Ke Tahun Baru 2013. 

Jemput masuk --->  WWW.FALAKONLINE.NET

 

Rukyah Dan Hisab Sebagai Syarat Komposit

Tag: bincang, arkib

 Artikel di bawah telah ditulis oleh En.Baharuddin Zainal  dari Fakulti Pengajian Kontemporari Islam, Universiti Darul Iman Malaysia, Kampus KUSZA, berkaitan isu yang sering disalah ertikan oleh masyarakat umum di Malaysia, perihal Rukyah dan Hisab di dalam proses menentukan kenampakan anak bulan. Mudah-mudahan penerangan ini dapat memberi penjelasan secara ilmiah.

 

Rukyah Dan Hisab Sebagai Syarat Komposit


Tidak semudah terjemahan bahasa sebagaimana anggapan ramai, iaitu rukyah itu ‘melihat bulan’ dan hisab itu ‘mengira’,  kaedah rukyah dan hisab hendaklah difahamkan sebagai satu istilah yang berkait. Terma yang telah dijadikan fatwa ini bukannya dua kaedah dengan dua makna yang berbeza. Rukyah dan hisab hendaklah ditakrifkan sebagai penggunaan syarat kenampakan anak bulan dengan kriteria tertentu. Penggubalan syarat ini boleh dilakukan dengan mengambil sekurang-kurangnya dua atau lebih parameter seperti gabungan jarak sendeng bulan-matahari dengan ketinggian bulan atau umur bulan dengan ketinggian dan sebagainya. Dengan menggunakan sejumlah data kenampakan anak bulan,  analisis dibuat untuk mendapatkan had-had anak bulan yang boleh kelihatan dan tidak boleh kelihatan.

 

Had-had inilah yang akan menjadi kuantiti piawai atau syarat kenampakan anak bulan bagi menepati maksud ‘hisab qat’i’ kenampakan anak bulan. Seumpama satu neraca pengujian, kuantiti ini akan digunakan untuk menilai kesahihan kenampakan anak bulan seterusnya dan membuat justifikasi dalam menyusun takwim hijri sepanjang tahun. Sama keadaannya apabila kepiawaian halal haram sesuatu makanan diuji dengan penggunaan bahan kecerakinan kimia yang piawai. Beginilah kedudukan rukyah dan hisab yang perlu jelas kaedah penggubalan dan amalannya. Penggunaan kuantiti piawai juga, membolehkan laporan palsu atau yang mengelirukan ditolak. Dalam  hal ini, Yusof al-Qaradhawi (1994) dalam fatwa semasanya menegaskan pengakuan  orang  yang  mendakwa melihat  bulan boleh ditolak  (jika berada di bawah syarat kenampakan anak bulan) kerana mengandungi sangkaan (‘dzan’), berbanding dengan hitungan falak yang tepat (‘qat’i'). Syarat kenampakan anak bulan yang digunakan hendaklah berdasarkan pengalaman rukyah itu sendiri.

 

Dalam konteks perlaksanaan rukyah dan hisab di Malaysia, ianya bukan pilihan  atau penggunaan dua kaedah rukyah dengan hisab sebagaimana yang difahamkan oleh ramai orang. Sebaliknya rukyah dan hisab dalam konteks Malaysia ialah penggunaan syarat kenampakan, tiada pilihan lain. Persoalannya, jika rukyah dan hisab merupakan dua kaedah pilihan, maka  amalan di Malaysia akan jadi begini:

(A)             

Rukyah dilakukan, jika tidak kelihatan kaedah hisab digunakan. Atau

(B)             

Rukyah dilakukan, jika anak bulan kelihatan, pada hal kuantitinya tidak cukup syarat, maka kenampakan ini diterima pakai.

 

Keadaan (A) biasa berlaku dan boleh diterima, sebaliknya keadaan (B) tidak akan dan tidak dipraktikkan berlaku. Jika berlaku keadaan (B) bagaimana? Jika perlaksanaan rukyah dan hisab di Malaysia merupakan pilihan, sepatutnya tarikh awal bulan boleh dimulakan. Adakah ini akan atau pernah dipraktikkan di Malaysia?  Saya berpendapat tidak. Selama 15 tahun saya mendudukki Jawatankuasa Teknikal Kalendar Islam Kebangsaan dan terlibat hampir 10 tahun dengan Jawatankuasa Penetapan Awal Puasa dan Hari Raya, saya membuat kesimpulan yang kaedah rukyah dan hisab dengan satu pilihan dipraktikkan secara mapan dan tekal di Malaysia. Kedua-dua jawatankuasa di atas tidak pernah memikirkan soal pilihan. Jika dalam keadaan (B), maka bulan tersebut dijadikan hari ke 30. Deraf ketetapan kepada Majlis Raja-Raja tidak pernah memberikan pilihan dalam keadaan (B). Bagaimana jika ada dakwaan anak bulan  di bawah syarat kenampakan  ‘telah kelihatan’? Saya berpendapat fatwa Yusof al-Qaradhawi (1994) terpakai dan fakta inilah yang sepatutnya menjadi mekanisme perlaksanaan rukyah dan hisab dalam konteks Malaysia. Perlu diingat  sebagai takwim awam yang praktik, takwim hijri di Malaysia tidak boleh meletakkan suasana ketidakpastian’ sebagai asas penyusunan takwimnya.

 

Syarat kenampakan anak bulan yang digunakan hendaklah kekal, tanpa dirobek oleh satu laporan kenampakan anak bulan, sekurang-kurangnya untuk satu tempoh masa. Sebarang laporan kenampakan anak bulan ‘yang luar biasa’, harus direkodkan, dianalisis dan dijadikan data untuk penilaian syarat pada masa depan, bukannya boleh digunakan untuk mengubah asas takwim secara ‘mendadak dan mengejutkan’. Perlu diingat syarat kenampakan anak bulan dibuat berdasarkan rasional saintifik yang menolak segala macam laporan ‘indera istimewa dari insan istimewa’, termasuk yang ‘kasyaf dan tajam mata hatinya’. Keyakinan ahli-ahli falak Islam pada zaman tamadun Islam terhadap ketepatan kriteria kenampakan anak bulan yang digunakan pada zamannya, digambarkan dalam takwim-takwim yang dicetak ketika itu dengan kenyataan;

‘ wa-yattafiq  al-hisab  wa’l-ruya’

Maksudnya,

'terdapat persamaan yang kuat antara hasil hisab dengan keputusan rukyah nanti' (.....ditambah perkataan InsyaAllah)

 

Dengan penggunaan syarat kenampakan yang paling minimum diamalkan sekarang di Malaysia, kita mungkin akan bebas daripada keadaan (B), tetapi kemungkinan akan ada juga ketikanya ‘indera istimewa dari insan istimewa’ mencuri perhatian. Lebih parah lagi jika mereka berada dalam kelompok ‘rombongan rasmi’. Maka penggunaan kaedah rukyah dan hisab, tanpa ada pilihan kedua adalah lebih harmoni. Inilah pendapat saya semenjak sekian lama dan dinukilkan dalam buku-buku susunan saya sebelum ini. Pendapat saya dibuat berdasarkan pemerhatian terhadap kaedah perlaksanaan rukyah dan hisab di Malaysia, bukannya saya meletakkan tafsiran sebegitu.

 

Wallahu Acalam

26 Ramadhan 1428

Copyright © 1999-2010 Falak Online. All rights reserved. Powered by Drupal.

Penafian: Falak Online tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan atau kerosakan yang dialami kerana maklumat dalam laman web ini.

Powered by Drupal, an open source content management system