Pada hari ini, saya dengan rendah diri ingin memperkenalkan mySKY, sebuah almanak fenomena astronomi, yang dibangunkan dengan niat untuk dijadikan sebagai sebuah rujukan utama untuk peminat-peminat astronomi tempatan dan nusantara.
mySKY akan memberi fokus kepada fenomena astronomi yang mudah dicerap dan dijejaki oleh sesiapa sahaja. Saya cuba meringkaskan sebanyak mungkin penerangan di dalamnya, bagi memudahkan sesiapa sahaja memahaminya (walaupun tidak mempunyai latar belakang astronomi).
Semua waktu dan tarikh fenomena di dalam mySKY telah disesuaikan dengan waktu tempatan Malaysia, berpusat di Kuala Lumpur. Namun, bagi anda yang berada di Sabah dan Sarawak, Brunei, Singapura dan sebahagian besar Indonesia masih boleh membandingkannya dengan waktu tempatan masing-masing. Harus difahami, setiap yang berlaku di langit amat dinamik dan sentiasa berubah-ubah berdasarkan lokasi di bumi. Oleh itu, tidak semua fenomena astronomi yang anda baca di laman web astronomi luar negara yang sesuai atau boleh dilihat dari kawasan Asia Tenggara. Maka, saya telah mengambil langkah tambahan untuk menyesuaikan tarikh/waktu ke waktu Kuala Lumpur.
mySKY juga menggunakan format kalendar bagi memudahkan anda mengaitkannya dengan jadual kehidupan seharian. Pada tahun-tahun sebelum ini, setiap fenomena hanya dipaparkan di dalam bentuk senarai sahaja. Adalah diharapkan format kalendar ini dapat memberi lebih banyak kefahaman dan membantu anda merancang aktiviti cerapan pada tarikh-tarikh yang disasarkan.
Agak banyak usaha telah dibuat bagi mengenalpasti sesebuah fenomena, (contoh 'himpunan planet'). Apa yang disenaraikan itu adalah dari sudut pandangan berdasarkan pengalaman saya sendiri. Jika ada fenomena lain yang saya terlepas pandang tetapi mungkin penting dan menarik perhatian anda, saya amat alu-alukan input tersebut untuk dimasukkan ke dalam almanak. Jangan risau, bagi meraikan perkongsian ilmu, kredit akan diberikan kepada pihak yang memberi sumbangan.
Selain itu, saya juga berusaha (dan dalam proses) untuk memasukkan sekali gambarajah penerangan bagi SETIAP fenomena yang berlaku. Gambarajah ringkas ini adalah sebagai rujukan anda dan perbandingan dengan apa yang berlaku di langit.
Sila baca About MySky dan Hakcipta, bagi penerangan syarat-syarat lebih lanjut berkenaan dengan penggunaan maklumat dari mySKY.
mySKY akan terus-menerus diperbaiki, dan ia merupakan sentiasa di dalam status 'work in progress'. Oleh itu sebarang kekurangan yang ada amat-amat dikesali dan akan cuba diperbaiki secepat mungkin.
Jom jadikan mySKY sebagai salah sumber rujukan utama Almanak Astronomi bagi tahun 2012 nanti.
URL mySKY di http://www.falak-online.net/almanak/
Copyright © 1999-2010 Falak Online. All rights reserved. Powered by Drupal.
Penafian: Falak Online tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan atau kerosakan yang dialami kerana maklumat dalam laman web ini.