22-28 Jan 2012
Sebelah Petang
Zuhrah
Zuhrah terus berada di ufuk barat, selepas Maghrib dan akan mudah kelihatan sehinggala ia terbenam sekitar jam 10 malam. Anda pasti tidak akan terkeliru dengan bintang-bintang lain kerana kecerahannya agak melampau.
Ia juga sedang mengejar bumi di dalam laluan orbitnya. Maka, jika anda konsisten melihat bentuk fasanya di dalam teleskop, semakin hari ia akan kelihatan semakin besar saiznya, dan fasanya semakin mengecil menjadi seperti bulan separuh.
Bulan akan melintasi berhampiran dengan Zuhrah pada 26 Jan nanti.
Musytari
Planet Musytari masih berada tegak di atas kepala sekitar Maghrib dan Isya. Ia akan hanya terbenam menjelang tengah malam.
Menarik minggu ini ialah pada 25 Jan nanti, sekitar jam 8 malam, jika anda mempunyai teleskop, anda boleh lihat 2 daripada satelit planet ini, iaitu Ganymede dan Europa akan melintasi di hadapan planet Musytari. Selain itu, ribut gergasi Great Red Spot pun akan kelihatan.
Info di mySKY
Tengah Malam
Marikh
Marikh semakin hampir menuju ke istiqbalnya bulan Mac nanti. Menurut kiraan falak, Bumi semakin menghampiri planet Marikh, seolah-olah mengejarnya. Kesannya ialah bermula 25 Jan nanti, ia akan mula bergerak dalam pergerakan retrograde.
Tunggu artikel dan penerangan lengkap berkenaan dengan retrograde nanti.
Lewat Malam
Zuhal
Planet Zuhal pula semakin awal muncul di langit, dengan waktu terbitnya sekitar jam 1.15 pagi.
Ia masih kekal berhampiran dengan bintang Spica, di dalam buruj Virgo.
Bulan
Bulan akan berada di posisi ijtimak (new moon) para jam 3.39 PM, 23 Jan 2012 nanti.
Bermula pada 25 hingga 28 nanti, Bulan akan mula bergerak melintasi beberapa buah planet.
Pada 25 hingga 27, ia akan berada hampir dengan planet Zuhrah, yang mana kemuncaknya ialah pada 26 Jan, yang mana ia akan berada sebelah-menyebelah dengan planet tersebut.
Pada 28 Jan pula, ia akan berada di antara Zuhrah dan Musytari.
Himpunan Bulan bersama-sama dengan planet-planet ini amat menarik untuk dirakam menggunakan kamera. Maka, jangan lupa siap sedia dengan peralatan kamera DSLR anda!
Copyright © 1999-2010 Falak Online. All rights reserved. Powered by Drupal.
Penafian: Falak Online tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan atau kerosakan yang dialami kerana maklumat dalam laman web ini.