Jika anda ternampak muka saya tengah TT (Teh Tarik) ni, bermakna anda telah selamat mengharungi 3 hari bumi tak jadi bergelap, dan tarikh 21hb Dis yang penuh tragis dan huru-hara (kononlah).

:-D

Nak ceritanya, Falak Online telah pun berpindah rumah. Bermula sekarang silalah kemaskini link ke WWW.FALAKONLINE.NET ,  tak perlulah letak apa-apa selepas tu, kerana ia akan redirect ke muka hadapan BARU yang sepatutnya.

Laman lama (yang anda lihat sekarang ni), InsyaAllah akan kekal untuk beberapa bulan mendatang. Ia akan menyenaraikan KESEMUA artikel lama saya di FO, bagi rujukan anda semua. Maka, kalau anda nak masih nak marah-marah kat saya berkenaan artikel "3 hari bergelap tu" , masih boleh berbuat demikian, saya terima dengan hati terbuka! :-)

Apa pun, InsyaAllah 2013 mendatang akan terdapat beberapa pembaharuan yang saya dan rakan-rakan Personaliti Astronomi lain usahakan, demi kemajuan bidang Astronomi di Malaysia.

Jom dan Selamat Datang Ke Tahun Baru 2013. 

Jemput masuk --->  WWW.FALAKONLINE.NET

 

Oct
23

Bumi bergelap 3 hari - Satu penjelasan ilmiah

Tag: 2012, hoax, blog

Saya berasa amat berat untuk menulis artikel ini, kerana secara asasnya memang tidak perlu susah payah pun. Ia hanya satu daripada berpuluh-puluh artikel 'hentam kromo' yang ditulis di internet dan disebar menerusi laman sosial samada secara sengaja atau tidak sengaja.

(Atas: gambar hiasan)

Namun, ramai juga yang bertanya mengenainya, dan soalan-soalan yang ditanya adalah hampir sama. Saya ada menjawabnya, mungkin kadang-kadang dalam keadaan yang agak 'emosi', terutama menerusi wall facebook saya beberapa hari lepas. Jika ada yang terasa hati, saya mohon maaf.

Oleh itu, bagi memberi sedikit pencerahan terhadap 'isu' ini, saya sediakan sebuah penerangan yang ringkas beserta dengan sumber dan nota kaki yang berkaitan. Jika ada yang tidak bersetuju, tidak mengapa kerana mungkin ada kesilapan dan datang dari kelemahan saya. Cuma saya harapkan respon atau teguran itu dibuat secara ilmiah dan dibawa berbincang secara matang, InsyaAllah.

Baiklah, isu ini semuanya bermula dengan artikel yang saya terima di facebook seperti di bawah:

Teks #1

Pihak NASA menjangkakan akan berlaku fenomena bumi akan gelap selama 3 hari iaitu bermula pada 23, 24 dan 25 Disember 2012. Apakah ini satu bencana atau anugerah? Entah benar atau ke tidak hanyalah jangkaan manusia sahaja.

Para Saintis NASA menjangkakan perubahan alam semesta dengan kegelapan penuh pada bumi selama 3 hari bermula pada 23 Disember 2012 bukanlah akan berakhirnya usia dunia, tapi ini adalah “Penyejajaran Alam Semesta“, di mana matahari dan bumi akan berada pada satu garis lurus untuk pertama kalinya. Bumi akan bertukar tempat dari dimensi ke 3 ke dimensi 0, lalu bertukar lagi ke dimensi ke 4.

Semasa proses pertukaran ini, seluruh alam akan menghadapi perubahan besar, dan kita akan melihat dunia yang baru (Dark of the Earth). Dunia gelap tanpa sinar, tanpa cahaya matahari.

Semasa kejadian ini berlaku, bersedialah, ketenangan amatlah diperlukan, saling berhubung antara satu sama lain, berdoa, dan terus berdoa. Beristirehatlah di rumah selama 3 hari tu

Banyak perbahasan tentang apa yang akan terjadi 3 hari tersebut tapi ramai yang tidak percaya. Gini je lah!, kita tunggu dan lihat je lah nanti pada 23, 24 dan 24 Disember 2012 tu, ni hanyalah jangkaan atau ramalan manusia je, tak pasti. Tapi kalau benar-benar terjadi, sekurang-kurang kita dah tahu dan bersedia menghadapi dunia baru selama 3 hari tu nanti.

Hanya Allah yang Maha Mengetahui segalanya, wallahu ‘alam.

Secara amnya, bagi mereka yang tahu menahu atau tidak mempunyai latar belakang pengetahuan tentang ilmu astronomi, pasti akan terkedu apabila membaca statement di atas. Malah, ada yang mula mengaitkannya dengan isu 'Kiamat 2012' (1)! 

Pengolahan serta perincian 'kejadian' itu begitu spesifik hingga 'tidak mungkin atau mustahil ia tidak akan berlaku'! 

Ramai yang bertanya, betul atau tidak. Jawapan ringkas yang sering saya jawab ialah "nope". 4 buah huruf itu akan diungkaikan panjang lebar seperti di bawah. Bagi memudahkan pemahaman, saya akan menjawab berdasarkan perenggan-perenggan dari artikel asal di atas.

Sebelum itu, suka saya menyalin artikel yang serupa, yang turut muncul di internet di dalam bahasa inggeris. (2)

Teks #2

As posted on Facebook, Aug. 4, 2012:

NASA predicts total blackout on 23-25 Dec 2012 during alignment of Universe.

US scientists predict Universe change, total blackout of planet for 3 days from Dec 23 2012.

It is not the end of the world, it is an alignment of the Universe, where the Sun and the earth will align for the first time. The earth will shift from the current third dimension to zero dimension, then shift to the forth dimension. During this transition, the entire Universe will face a big change, and we will see a entire brand new world.

The 3 days blackout is predicted to happen on Dec 23, 24, 25....during this time, staying calm is most important, hug each other, pray pray pray, sleep for 3 nights...and those who survive will face a brand new world....for those not prepared, many will die because of fear. Be happy, enjoy every moment now. Don't worry, pray to God everyday. There is a lot of talk about what will happen in 2012, but many people don't believe it, and don't want to talk about it for fear of creating fear and panic.

We don't know what will happen, but it is worth listening to USA's NASA talkabout preparation. Whether it's true or not, better be prepared. No panic, stay calm, just prays. Remember to smile more, love more and forgive more...every day. Better avoid traveling during December.

Teks #3

As posted on Facebook, Sep. 14, 2012:

NASA America predicts total blackout on Earth from 22-25 Dec 2012 during alignment of Universe.

If possible, please avoid traveling during the third week of December 2012 as all modes of communication may fail.

US scientists predict total darkness on planet earth for 3 days from Dec 22 2012. It is NOT the end of the world, it is just an alignment of the Universe, where the Sun and the earth will align for the first time. All planets are expected to align in a straight line as a result of which there could be some natural calamities on Earth. The earth will shift from the current third dimension to zero dimension, then shift to the 4th dimension. During this transition, the entire Universe will face a big change, and we will see an entire brand new world. The 3 days blackout is predicted to happen on Dec 22, 23, 24, 2012.... So do good be good live for the present enjoy life.

Analisis

Merujuk kembali ke Teks #1.

              Pihak NASA menjangkakan akan berlaku fenomena bumi akan gelap selama 3 hari iaitu bermula pada 23, 24 dan 25 Disember 2012. Apakah ini satu bencana atau anugerah? Entah benar atau ke tidak hanyalah jangkaan manusia sahaja.

Perenggan di atas menyatakan pihak NASA yang mengeluarkan kenyataan tersebut. Jika kita menggunakan sebuah utiliti di internet yang dipanggil sebagai Google, dan cuba buat carian, kita akan dapati rupa-rupanya isu '3 days of darkness' (apabila diterjemah ke bahasa inggeris)  ini dikaitkan dengan sebuah komet bernama Komet Elenin yang dijangka berlaku pada TAHUN LEPAS…. LAST YEAR…. bukan 2012. 

Sila rujuk informasi berkenaan dengan Komet Elenin di sini

http://www.space.com/12653-comet-elenin-earth-threat-nasa-answers.html

Maknanya, isu ini pernah pun muncul di internet pada tahun 2011 lepas, tetapi dikaitkan dengan kemuncul Komet Elenin.

 

(Foto yang dirakam oleh astronomer amatur, Michael Mattiazzo dari Castlemaine, Australia yang menunjukkan 2 keadaan Komet Elenin (19 Ogos dan 6 Sep, 2011), yang jelas menunjukkan kesan-kesan ia sedang menghancur. CREDIT: Michael Mattiazzo)

Oleh itu, saya sendiri kurang pasti, hujan tak ada ribut tak ada, tiba-tiba datang pula tarikh 23,24 dan 25 Disember tahun DUA RIBU DUA BELAS (2012) itu muncul! Apa yang pasti, kebanyakkan artikel di internet ni, ikut suka dia nak tukar-tukar tahun atau tarikh. Bila sesuatu 'tarikh keramat' tu dah berlalu tanpa apa-apa berlaku, tiba-tiba tahun depan keluar lagi cerita yang sama, tapi tahun yang baru. Contoh terbaik isu Marikh dan Retrograde yang PERNAH SAYA BINCANG PADA TAHUN 2005 dulu . Sila rujuk sini http://www.falak-online.net/komuniti/index.php?topic=99.0

 

 

Mungkin ramai yang akan mengatakan, NASA 'sengaja' menyembunyikan cerita ini, atau jangan percaya dengan apa yang dikatakan oleh NASA kerana mereka orang barat yang tidak boleh dipercayai.

Ok, kalau tak percaya NASA tak mengapa, tetapi saya persilakan untuk menguatkan hujah yang 'counter' balik keterangan NASA itu, menerusi kajian sains atau pemerhatian (observation) dan disokong dengan data-data yang kukuh dan boleh di-verify kembali oleh komuniti sains sedunia.  

Kalau setakat kata NASA menipu, kemudian tak ada hujah yang konkrit untuk menyokongnya, saya anggap statement itu hanya 'dengar-dengar' saja, cerita kedai kopi.

Kembali ke Teks #1, perenggan kedua.

Para Saintis NASA menjangkakan perubahan alam semesta dengan kegelapan penuh pada bumi selama 3 hari bermula pada 23 Disember 2012 bukanlah akan berakhirnya usia dunia, tapi ini adalah “Penyejajaran Alam Semesta“, di mana matahari dan bumi akan berada pada satu garis lurus untuk pertama kalinya. Bumi akan bertukar tempat dari dimensi ke 3 ke dimensi 0, lalu bertukar lagi ke dimensi ke 4.

Saya boleh pecahkan ayat di atas mengikut beberapa buah rentetan 'fenomena langit' yang 'akan berlaku', kepada turutan berikut:

i. Bumi dalam kegelapan sepenuhnya

ii. Selama 3 hari bermula 23 Disember 2012

iii. Penyejajaran Alam Semesta, Matahari dan Bumi dalam satu garis lurus buat kali pertama

iv. Bumi bertukar dimensi (dari dimensi ke-3 pergi ke-0, kemudian ke-4)

Mari kita lihat satu per satu statement di atas:

i. Bumi dalam kegelapan sepenuhnya

Bumi merupakan sebuah planet yang berbentuk 'hampir' bulat dan berputar di atas paksinya selama 23 jam 56m 4s, atau dalam bahasa yang lebih senang, 24 jam.

Cahaya yang diterima adalah daripada sebuah sumber cahaya yang paling dominan sekali, iaitu matahari. Hanya cahaya matahari sahajalah yang akan menghasilkan siang dan malam. 

(Video di bawah menunjukkan keadaan siang dan malam Bumi, apabila dilihat dari ISS. Jika vide tak muncul, sila refresh kembali page ini)

Perkara ini, kanak-kanak sekolah rendah pun boleh memahaminya.

Jadi adalah mustahil Bumi boleh berada dalam kegelapan sepenuhnya, kerana sudah pasti separuh berada di dalam suasana terang benderang, dan separuh lagi di dalam suasana gelap (malam).

Mungkin ramai yang akan bertanya "Tak mustahil matahari akan padam tiba-tiba". Di sini suka saya nyatakan bahawa jawapan saya di atas itu adalah berdasarkan ayat yang diambil dari Teks #1 yang tersebar di internet. Ayat-ayat dalam Teks #1 itu pun tidak spesifik menyatakan sebab mengapa bumi bergelap. Oleh itu, saya tidak akan membuat andaian demikian.

ii. Selama 3 hari bermula 23 Disember 2012

Kenapa 3 hari? dan kenapa bermula 23 Disember 2012? Apakah fenomena atau susun atur objek-objek di langit yang boleh menyebabkan 3 hari itu Bumi akan bergelap? 

Jika kita merujuk kiraan objek-objek samawi menerusi perisian-perisian astronomi seperti Skymap, CalSky, SkySafari, SkyChart, Starry Night, Celestia, Cosmographia, Google Sky dan pelbagai lagi perisian dan utiliti di internet, tidak ada satu pun yang akan menunjukkan perubahan yang drastik kepada pergerakan bumi atau matahari yang boleh menyebabkan 'Bumi bergelap selama 3 hari'.

"Tapi, itu semua perisian dari NASA, kita mana boleh percaya NASA!"

Ok. Jika ada yang masih tidak mempercayai kiraan yang dibuat oleh perisian itu, boleh guna formula yang digunapakai oleh ilmuwan falak tanahair yang menentukan waktu solat dan arah kiblat, seperti buku-buku tulisan Dr. Baharuddin Zainal dari UniSZA. Sila guna formula yang ada di dalam buku tersebut dan buktikan akan berlaku fenomena luar biasa pada tarikh-tarikh 23,24,25 Disember 2012 ini nanti. Jika ada, saya alu-alukan untuk sama-sama dikongsi bersama-sama.

Lagipun bukan NASA yang buat perisian-perisan di atas itu pun. Oleh itu jangan paranoid sangat. Tenangkan hati dan kemukakan hujah secara sistematik dan jelas.

iii. Penyejajaran Alam Semesta, Matahari dan Bumi dalam satu garis lurus buat kali pertama

Kalau dirujuk kepada artikel di dalam bahasa inggeris, ia menyatakan 'the alignment of the universe'.

Alignment atau align, jika dirujuk http://www.thefreedictionary.com/alignment akan membawa maksud

  1. arrangement in a straight line
  2. the line or lines formed in this manner

Oleh itu, jika kita baca ayat di atas, seolah-olah membawa maksud matahari dan bumi SEBELUM INI TIDAK BERADA DI DALAM GARIS LURUS ! . 

Ok, cuba terangkan, kita buat 2 titik, Titik A merujuk kepada Bumi, Titik B merujuk kepada matahari. Agak-agak boleh ke apabila kita buat garisan antara kedua itu, ia TIDAK BERADA DALAM SATU GARIS LURUS?

(Rajah di atas menunjukkan Bumi di dalam orbit mengelilingi matahari. Jika dibuat garisan Bumi-Matahari, akan tetap dalam satu garis lurus)

Tak tau lah kalau penulis Teks #1 itu merujuk kepada lukisan atau gambarajah Bumi dan Matahari yang dilukis garisan tanpa menggunakan pembaris. Jika itulah yang dimaksudkan, saya hanya mampu menggaru kepala sahaja. Adalah TIDAK LOGIK untuk membayangkan bagaimana Bumi dan Matahari, yang digambarkan sebagai titik-titik tadi, TIDAK BERADA DALAM SATU GARIS LURUS.

 

"Tapi ia mungkin merujuk kepada kedudukan matahari, bumi dan galactic centre yang akan sejajar pada tarikh tersebut."

Seperti dalam ulasan untuk poin nombor iii di atas, saya tidak mahu membuat sebarang andaian, kerana ayat asal artikel itu tidak menyebut langsung berkenaan dengan galactic center itu. Oleh itu, lebih baik jangan kaitkannya, kerana isu ini tidak ada kaitan dengan isu Penjajaran Matahari dengan Pusat Galaksi (3).

iv. Bumi bertukar dimensi (dari dimensi ke-3 pergi ke-0, kemudian ke-4)

Ayat ini langsung tidak masuk akal kerana, saya boleh bertanya kembali, "Apa beza dimensi ke-3 dengan dimensi 0 tu". "Apa maksud dimensi tu?", "Apa yang dimaksudkan Bumi bertukar dimensi?"

Saya cuba rujuk ayat dalam bahasa Inggeris seperti di bawah:

The earth will shift from the current third dimension to zero dimension, then shift to the forth dimension.

Itupun tidak masuk akal, malah saya yakin artikel bahasa melayu itu mencedok dan menterjemah bulat-bulat daripada artikel bahasa Inggeris, dan penulisnya tak faham 'satu habuk' pun apa yang dimaksudkan di atas. 

Teks #1 Perenggan ke-3

Semasa proses pertukaran ini, seluruh alam akan menghadapi perubahan besar, dan kita akan melihat dunia yang baru (Dark of the Earth). Dunia gelap tanpa sinar, tanpa cahaya matahari.

Kalau nak tau maksud "Dark of the Earth" tu, rajin-rajin lah guna Google. Tidak ada satu pautan web pun yang menerangkan dengan jelas maksud tu. Majoritinya hanya mengulang-ulang sahaja perkataan itu. Malah ia tiada kaitan langsung dengan apa-apa fenomena cakerawala. Oleh itu, gunalah mata hati dan bijak menilai sesuatu perkara yang mana, sekali imbas pun, kita sudah boleh agak kesahihannya.

Teks #1 Perenggan ke-4

               Semasa kejadian ini berlaku, bersedialah, ketenangan amatlah diperlukan, saling berhubung antara satu sama lain, berdoa, dan terus berdoa. Beristirehatlah di rumah selama 3 hari tu.

Untuk perenggan,  memang ada kebenaran untuk ayat yang terakhir tu "Beristirehatlah di rumah selama 3 hari tu" . Ini adalah kerana tarikh 23,24 dan 25 Disember itu memang ramai yang akan berehat di rumah kerana CUTI UMUM

:-D

Teks #1 Perenggan ke-5 dan 6

Banyak perbahasan tentang apa yang akan terjadi 3 hari tersebut tapi ramai yang tidak percaya. Gini je lah!, kita tunggu dan lihat je lah nanti pada 23, 24 dan 24 Disember 2012 tu, ni hanyalah jangkaan atau ramalan manusia je, tak pasti. Tapi kalau benar-benar terjadi, sekurang-kurang kita dah tahu dan bersedia menghadapi dunia baru selama 3 hari tu nanti.

Hanya Allah yang Maha Mengetahui segalanya, wallahu ‘alam.

Jika kita sendiri tidak tahu sejauh mana kebenaran 'cerita' ini, maka kenapa perlu menghebahkannya? Mengapa perlu menyemai ketakutan yang tidak bertempat berasaskan cerita yang tiada asas? 

Kisah ini merupakan salah satu daripada puluhan cerita-cerita 'dongeng' yang kerap berlegar di internet sekarang. Malah, saya dapat rasakan, akan ada banyak lagi kisah-kisah yang tidak berasaskan fakta dan sekadar cerita kedai kopi, akan tersebar menjelang hujung tahun 2012 ini nanti.

Saya menyeru agar pemilik-pemilik blog yang menyalin dan menyebarkannya kembali agar memadam sahaja cerita yang amat mengelirukan ini. Malah jika tidak berjaga-jaga, ia akan menyebabkan kekecohan yang serius di kalangan masyarakat. Statement "kita tunggu dan lihat je lah nanti "  merupakan ayat 'lepas tangan' seolah-olah tidah mahu bertanggungjawab terhadap kesan yang berlaku akibat cerita ini.

Renungilah ayat ini.

Surah Yasin, ayat 37-40 yang bermaksud :

(37)- dan suatu tanda kebesaran Allah bagi mereka ialah malam ; kami tanggalkan siang dari malam itu, maka seketika itu mereka dalam kegelapan.

(38)-dan matahari berjalan dari tempat peredarannya. Demikianlah ketetapan Allah yang Maha Perkasa, Maha Mengetahui.

(39)-dan telah kami tetapkan tempat peredaran bagi bulan setelah sampai ke peredaran terakhir, kembalilah ia seperti bentuk tandan yang tua.

(40) tidaklah mungkin bagi matahari mengejar bulan dan malam pun tidak mendahului siang. Masing-masing beredar pada garis edarnya.

Saya berpendapat, ayat itu jelas menunjukkan peredaran dan pergerakan matahari, bumi, bulan itu semuanya konsisten dan terkawal di dalam undang-undang yang telah ditetapkan oleh Allah SWT. Sunnatullah. Maka, apa perlu yang ditakut-takutkan dengan 'fenomena' alam semesta di dalam artikel di atas? Yang jelas tidak logik dan tidak mengikut undang-undang alam yang Allah SWT telah sediakan untuk kita di Bumi?

Mungkin juga ada yang akan menyatakan, "tidak mustahil ia akan berlaku kerana Allah SWT Maha berkuasa." 

Memang betul lah statement itu, tetapi jika ia digunakan untuk setiap perkara, wa-aima yang jelas karutnya, maka tidak perlulah kita bersusah payah mengkaji dan memerhati alam semesta kerana 'apa-apa pun boleh berlaku'. Maka, bagaimana pula dengan ayat dalam surah Al-Imran (190-191), 

(190) Sesungguh pada kejadian langit dan bumi dan pada pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan dan keluasan rahmat Allah) bagi orang-orang yang berakal.

(191) (Iaitu) orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata): Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari azab Neraka

Ayat yang jelas menyuruh manusia memerhatikan kejadian cakerawala dengan berfikir, menilai dan mempelajarinya menggunakan AKAL.

Wallahualam.

 

(1) Isu dan perbincangan 'Kiamat 2012' akan menyusul menerusi artikel-artikel akan datang

(2) http://urbanlegends.about.com/od/errata/ss/Nasa-Predicts-Total-Blackout-Dec-2012.htm

(3) Ini merupakan rentetan isu-isu buatan yang berkaitan dengan isu 'Kiamat 2012'. Akan dibincang dalam artikel-artikel akan datang.

 

 

 

 

 

Copyright © 1999-2010 Falak Online. All rights reserved. Powered by Drupal.

Penafian: Falak Online tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan atau kerosakan yang dialami kerana maklumat dalam laman web ini.

Powered by Drupal, an open source content management system