5 Feb - 11 Feb 2012
Sebelah Petang
Zuhrah
Zuhrah terus menerus mendominasi langit kawasan barat. Ramai ahli Falak Online di Facebook yang mula menyedari kehadiran planet ini, walaupun sebelum ini mungkin terkelirunya sebagai bintang yang cerah.
Planet ini juga sedang semakin menghampiri ke bentuk/fasa separuh tidak lama lagi. Bentuknya sekarang (kalau dilihat menerusi teleskop), adalah seperti bulan gibbous.
Pada 10 Feb, planet Uranus akan berada kurang 1 darjah dari planet Zuhrah. Namun, ia hampir mustahil untuk dilihat kerana:
1. Uranus agak malap untuk dilihat dengan mata
2. Silau cahaya Zuhrah terlampau terang, lalu akan menenggelamkan cahaya dari Uranus.
Cuma, bagi mereka yang mempunyai teleskop, dan kamera, mungkin boleh cuba merakamnya.

Musytari
Planet gergasi ini masih terang benderang tegak di atas kepala sebaik sahaja Maghrib. Namun, menjelang Isya ia sudahpun bergerak ke arah barat dan setiap hari ia akan semakin rendah dan rendah.
Menerusi teleskop, ia masih lagi menakjubkan. Sudahkan anda mencuba meneropongnya dan melihat jalur-jalur di atas atmosferanya?
Jangan lupa, pada 8 Feb nanti, bulan-bulan planet Musytari akan 'berkumpul' dekat dengan planet ini. Malah, 3 daripadanya , iaitu bulan Ganymede, Europa dan Callisto akan membentuk corak 3 segi. Manakala bulan Io akan berada di sebelah berlawanan daripada bulan-bulan tadi.

Menjelang Tengah Malam
Marikh
Menarik sekali, Marikh kini semakin awal terbit. Percaya atau tidak, untuk minggu ini, ia sudahpun terbit di ufuk timur menjelang sekitar 9.45 malam! Apabila sampai tengah malam, ia sudahpun tinggi di langit timur dan mudah untuk kita melihatnnya.
Kecerahannya pun semakin meningkat (disebabkan ia semakin hampir dengan bumi). Namun, menerusi teleskop ia masih kecil (jauh lebih kecik dari planet Musytari).
Ia menerima kunjungan hormat dari Bulan pada 9 Feb dan 10 Feb.
Tengah Malam
Zuhal
Planet Zuhal juga semakin awal muncul di langit, dengan waktu terbitnya sekitar jam 12.15 tengah malam.
Ia masih kekal berhampiran dengan bintang Spica, di dalam buruj Virgo.
Bulan
Bulan akan begerak melalui buruj Gemini, Cancer dan Leo serta Virgo sepanjang minggu ini.
Fasa Bulan Penuh akan berlaku pada jam 5.53am pada 8 Feb ini.
Pada tarikh 9 Feb dan 10 Feb, ia akan berada hampir dengan planet Marikh. Gunalah peluang ini untuk menjejaki planet Marikh ini dengan bantuan Bulan.
Copyright © 1999-2010 Falak Online. All rights reserved. Powered by Drupal.
Penafian: Falak Online tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan atau kerosakan yang dialami kerana maklumat dalam laman web ini.